Jumaat, 25 Oktober 2013

Raih Keampunan dengan Memaafkan

Assalamualaikum Warahamtullahi Wabarakatuh !


Orang yang bijaksana sering berpesan: "Hidup terlalu singkat untuk membenci." Mengapa? Jika hidup dicengkam rasa benci, segala kebaikan akan terhenti. Kita akan gagal menjadi orang yang baik, dan jauh sekali dapat memberi kebaikan. Keceriaan, kegigihan dan ketabahan akan pudar dimamah kebencian.

Jika demikian, apa ertinya hidup? Hidup yang singkat bertambah singkat jika diri didominasi sifat benci. Orang yang penuh kebencian umpama bangkai bernyawa yang menghadapi kehidupan dengan rasa penuh rasa kecewa dan putus asa.

Cara mengusir kebencian dari hati ialah dengan memberi maaf. Maka kerap diperingatkan bahawa memaafkan orang lain seperti memaafkan diri sendiri! Ya, hanya dengan memaafkan, api kemarahan, kekecewaan, dendam kesumat yang meragut ketenangan akan terpadam. Hanya mereka yang memberi maaf sahaja layak merasai bahagia dan meraih kemuliaan. Siapa yang inginkan kemuliaan, berilah maaf.

Allah Maha Pemaaf, Kita?

Allah tidak jemu-jemu memaafkan kesalahan hamba-Nya. Asalkan kita sudi meminta maaf kepada-Nya iaitu dengan beristighfar dan bertaubat. Bukankah Allah telah berfirman, maksudnya:

39:53

"Katakanlah (wahai Muhammad), wahai hamba-Ku yang melampaui batas dalam kecelakaan dirinya sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah (pengampunan-Nya). Sesungguhnya Allah sudi mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Penyayang." (Surah al-Zumar 39:35)

Lalu siapakah kita jika dibandingkan dengan Allah untuk bersikap terlalu ego dengan tidak memaafkan kesalahan orang lain? Sesungguhnya manusia yang lebih wajar memberi dan meminta maaf.

Apakah kita terlalu suci, baik dan sempurna sehingga kita boleh memaafkan kesalahan orang lain? Sedangkan Allah yang Maha Agung pun sudi memaafkan kesalahan hamba-Nya, apatah lagi kita. Allah sudi mengampunkan bukan sekali, tetapi berkali-kali. Allah tidak pernah jemu mengampunkan dosa selagi kita tidak kecewa dan berputus asa dengan rahmat-Nya.

Sebesar-besar dosa manusia, besar lagi pengampunan Allah. Malah keampunan-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya. Jadi atas alasan apakah lagi untuk tidak memaafkan?

Maafkanlah kesalahan sesama kita, agar mudah kita bicara kita di mahkamah keadilan-Nya. Allah Maha Penyayang. Allah suka kepada orang yang penyayang. Allah Maha Pemaaf dan suka kepada orang yang memaafkan. Maafkanlah agar diampunkan.

Oleh kerana kasih sayang-Nya, Allah tetap sudi mengampunkan dosa orang yang bertaubat. Kerana mengharap kasih sayang itu jugalah kita seharusnya berusaha memaafkan kesalahan orang lain kerana mengharapkan keampunan-Nya

Sebagai hamba Allah, kita memaafkan kesalahan orang lain bukan kerana mengharap balasan manusia, tetapi kerana itu ialah perintah Allah. Berbuat baiklah kepada manusia demi mengharap keredaan Allah. Mengapa kita rasa terlalu "besar" untuk tidak memaafkan? Apakah kita yang memberikan manusia rezeki? Apakah kita yang memberi mereka hidayah? Apakah kita yang menyembuhkan dia daripada sakit demamnya?

Insaflah, Allah yang telah memberikan segala-segalanya untuk kita dan mereka. Jadi, jika Allah yang begitu besar jasanya sudi memaafkan, apatah hak kita untuk berbuat sebaliknya?

Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung pun bersifat Maha Pemaaf. Perhatikanlah sekian banyak nama Allah yang sinonim dengan sifat pemaaf:


Sepintas lalu nama-nama mulia ini sama sahaja maksudnya. Hakikatnya setiap satu nama mempunyai kedalaman dan keluasan maksud yang berbeza lalu menyempurnakan antara satu sama lain.
Maafkan insan, agar diampuni al-Rahman "Hendaklah mereka memaafkan dan melupakan kesalahan. Tidakkah kamu suka jika Allah mengampunkan dosa kamu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." (Surah al-Nur 24:22)
Jangan Sekali-kali Berputus Asa

Cuba bayangkan kasih sayang Allah. Sekalipun seseorang itu berdosa, kemudian bertaubat, berdosa dan bertaubat lagi tetapi kembali berdosa agar jangan sekali-kali putus asa untuk bertaubat lagi. Mana tahu malaikat maut mencabut nyawanya ketika dia sedang bertaubat atau sedang dalam perjalanan menuju satu taubat!

Allah Maha Pemaaf. Sekalipun si hamba datang dengan dosa sepenuh langit dan bumi, sebanyak pasir di pantai atau air di lautan, Allah akan mengampunkannya.

2:222

Bahkan Allah bukan sekadar mengampunkan, malah menyayangi pendosa yang bertaubat daripada dosanya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang bertaubat." (Surah al-Baqarah 2:222)

Belajar Memaafkan Insan

Katakanlah kepada diri sendiri: "Betapa sukar sekalipun, aku mesti memaafkan."

Tidak dinafikan ada orang yang "suka" menimbulkan kemarahan. Tingkah lakunya, tutur kata atau sikapnya begitu menjengkelkan dan menyakitkan hati kita. Kita cuba menahan rasa dan memujuk jiwa untuk memaafkannya, namun kesalahannya masih terbayang.jua. Hendak melupakan? Ah, jauh panggang dari api. Sekadar hendak memaafkan pun begitu berat rasanya, apalagi melupakan.

Apabila kita dihantui oleh perasaan sebegini, ingatkan diri bahawa Allah sedang menguji kita. Hakikatnya Allah sedang mendidik kita melalui kerenah manusia lain. Allah sedang menguji sejauh mana cinta kita kepada-Nya melalui kerenah hamba-Nya.

Pada ketika itulah teruji sejauh mana kita dahagakan keampunan Allah. Jika keampunan Allah lebih bernilai, maka kita akan memberi maaf.

Sebaliknya, jika ego diri lebih mahal, maka kita tidak akan memberi maaf. Maka apabila kita diuji sebegitu, katakan pada diri: "Oh, Tuhan. Engkau sedang mengajarkan aku erti kesabaran dan mendidik aku supaya menjadi seorang pemaaf!"

Lupakah kita kepada anjuran Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan? Tidakkah kita ingat betapa Rasulullah telah bersabda, maksudnya: "Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi diri sendiri." (Riwayat Muslim)

Jika benar-benar kita beriman, maka sewajarnya tidak ada halangan besar untuk memaafkan kesalahan manusia demi mendapat keampunan Allah.

Sejarah Agung Insan Pemaaf

Oleh sebab itulah apabila kita menyingkap sejarah kehidupan orang yang akrab dengan Allah terutamanya Rasulullah, kita akan terkesima melihat betapa pemaafnya mereka.

Ketika diusir dan dibaling dengan batu di Taif, Rasulullah bukan sahaja memaafkan malah mendoakan agar zuriat penduduk Taif beriman kepada Allah pada suatu hari nanti.

Itulah sikap Rasulullah ketika memulakan dakwah di Makkah. Barangkali terlintas di benak kita: "Mungkin itu pendekatan terbaik pada ketika itu, Nabi belum berkuasa."

Fath Makkah menafikan sangkaan sebegitu. Imbaslah kembali tindakan Rasulullah terhadap penduduk Makkah semasa peristiwa bersejarah tersebut. Baginda menjadi pihak yang berkuasa.

"Pergilah, sesungguhnya kamu semua bebas!" Dengan ucapan itu, Rasulullah memaafkan mereka yang pernah menuduh Baginda dengan bermacam-macam tuduhan, menyekat bekalan makanan dan minuman, menyeksa, menyakiti, memerangi dan berkomplot membunuhnya. Subhanallah, betapa pemaafnya Nabi.


Sesungguhnya hanya orang yang berjiwa besar mampu memberi maaf. Terbukti Rasulullah sangat berjiwa besar kerana berjaya memberi maaf ketika mampu membalas!

Sikap Rasulullah itu sangat berbeza dengan lain-lain para-para pemimpin di dunia. Lihat betapa banyak korban yang berlaku akibat perbuatan balas dendam dalam Revolusi Perancis, Revolusi Bolsyevik di Rusia dan Revolusi Kebudayaan di China. Atas nama keadilan, mereka membalas kezaliman dengan kezaliman.

Rasulullah tidak. Baginda membalas kejahatan dengan kebaikan. Akhirnya terbentuklah perpaduan yang sangat kukuh dalam kalangan umat Arab sehingga melayakkan mereka menjadi pembina empayar.

Pemaaf Berjiwa Besar

Orang yang berjiwa besar ialah orang yang punya iman yang sangat tinggi kepada Allah. Hati orang beriman sangat kebal. Diri dalamnya menentukan respons luarannya. Dia tidak mudah terusik, tergores atau tercalar oleh kerenah insan.

Orang begini sangat mudah memaafkan malah melupakan kesalahan orang lain. Sebaliknya orang yang berjiwa kecil sahaja sukar memaafkan. Hatinya mudah diperkotak-katikkan kerana hidupnya dikawal oleh sesuatu yang datang dari luar dirinya!

Tegasnya, jika ditanyakan mengapa seseorang sukar memberi maaf? Jawabnya, kerana sifat ego, dendam, marah, hasad dan sangka buruk yang sedang mencengkam dirinya. Orang begini terhijab daripada merasakan keagungan Allah.

Sayangnya sekali, apabila kerenah manusia dirasakan lebih besar daripada keampunan Allah. Mereka umpama orang yang terhalang menikmati keindahan bunga mawar kerana asyik melihat durinya!

Berbeza dengan orang yang berjiwa besar seperti Sayidina  Abu Bakar al-Siddiq. Beliau pernah bersumpah untuk tidak membantu seorang saudaranya, Mistah kerana terlibat dalam peristiwa hadis al-ifk. Peristiwa ini merujuk kepada kisah Sayidatina Aisyah yang difitnah mempunyai hubungan sulit dengan orang lain.

Apabila turun ayat al-Quran yang membersihkan Saydatina Aisyah daripada tuduhan keji tersebut, Abu Bakar bersumpah untuk tidak memberi bantuan kewangan kepada Mistah. Sikap Abu Bakar ini ditegur oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

24:22

"Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan ke Allah. Dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu. Tidakkah kamu suka Allah mengampunkan dosa kamu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Nur 22:24)

Apabila mendengar ayat ini Sayidina Abu Bakar terus memaafkan, malah menyambung semula bantuan yang pernah diberikan kepada saudaranya. Inilah kehebatan manusia yang segala fikiran, perasaan, pertimbangan dan keputusan hanya difokuskan untuk mendapat keredaan Allah. Bagi mereka soal kemarahan, kekecewaan dan rasa terkilan dalam hati sangat kecil berbanding keampunan Allah.

memaafkan orang lain ialah cara hidup orang soleh. Inilah sifat orang bertakwa seperti yang digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

3:134

"Orang yang menafkahkan hartanya pada waktu lapang mahupun sempit, orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah suka orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali 'Imran 3:134)


Memberi Maaf Punca Ketenangan

Memberi maaf akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk rang lain tetapi buat hati kita sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang lebih menyeksa diri sendiri berbanding orang yang kita marahkan. Kemarahan umpama "bom jangka" dalam diri yang menunggu saat untuk meledak.

Maka untuk mendapat ketenangan dalam hidup, berilah maaf. Kata ahli psikologi, apabila kita memaafkan barulah kita "bebas" daripada belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa-apa yang kita marahkan melekat pada diri kita.
"Kemarahan itu api yang panas dan membahang dalam diri. Kemaafan pula umpama salji dingin yang akan memadamkannya."
Islam menuntut kita memaafkan sekalipun musuh. Apatah lagi saudara seiman. Ingat, kita tidak bahagia. Sesungguhnya, bahagia itu bukan dengan menerima, tetapi dengan memberi.

Memberi itu pula tidak terhad pada keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi. Antara keperluan jiwa manusia yang sangat penting ialah dimaafkan! Tanpanya, hidup akan menderita kerana diburu oleh rasa bersalah.

Maaf Tamat Tempoh

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang hidup. Kita lebih mudah memberi maaf kepada orang yang telah mati. Sedangkan maaf itu sebenarnya lebih penting untuk orang yang masih hidup. Bayangkan, orang yang kita disayangi tiba-tiba meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkan. Akan tenangkah hati kita ketika ditinggalkan buat selama-lamanya, sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara kita dan dia?

Atau boleh jadi kita sendiri tiba-tiba meninggal dunia terlebih dahulu. Bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi maaf kepada orang lain?

Oleh itu, jangan bertangguh lagi. Maafkanlah. Kerana tanpa maaf, kita pasti akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat. Rasa bersalah yang akan dibawa hingga mati.

Betapa ramai suami yang kematian isteri, terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangka. Mintalah maaf dan berilah maaf, jika benar kita sedari bahawa mati itu datang tiba-tiba!

Perbandingan Tahap Kebolehterimaan Maaf



Satu penyelidikan telah dijalankan terhadap penghuni rumah-rumah sakit jiwa. Hasil penemuan itu sangat mengejutkan. Didapati, orang yang pemurah jarang menjadi penghuni rumah sakit jiwa.

Ini bermakna kebanyakan penghuni rumah sakit jiwa ialah orang yang kedekut. Dalam kata lain, orang yang tidak mahu memberi. Mereka tertekan kerana tidak disayangi atau tidak diendahkan. Barang kali mereka terlupa bahawa punca mereka tidak disayangi atau menyayangi atau mengendahkan orang lain terlebih dahulu.
        Wallahu a'lam

Jazak'Allahu Khairan for your reading this entry !