Assalamualaikum Warahmatullah
Wabaratakah !
Semasa kecil dahulu kita sering diusik dengan kata-kata orang tua: "Sesiapa yang tak berpuasa, tak boleh beraya." Itulah kata-kata yang mendorong untuk kita berpuasa. Walaupun masih di sekolah rendah, kebanyakan anak Melayu-Islam sudah dilatih berpuasa. Betul tak?
Hari Raya adalah motivasi utama untuk anak-anak berpuasa. Apa tidaknya, hari raya telah disinonimkan dengan baju raya, kuih raya, duit raya dan lain-lain. Ya, semasa kecil kita takut jika berpuasa kita tidak akan berpeluang menikmati semua itu.
Itu hari raya yang dilihat dari perspektif kanak-kanak. mereka memahami hari raya berdasarkan adat dan budaya yang mendarah daging sejak sekian lama. Namun setelah dewasa, sepatutnya ufuk minda semakin berkembang. Hari raya mesti dilihat dari perspektif ibadah dengan menitikberatkan prinsip-prinsipnya yang lebih hakiki. Tujuan berhari raya mesti dikaitkan dengan ibadah puasa yang dijalani sebelumnya.
Sesiapa yang tidak berpuasa dalam erti kata sebenar, hakikatnya tidak layak berhari raya. Apakah ukuran kejayaan amalan puasa seorang? Kejayaan puasa akan melahirkan sifat takwa dalam diri orang yang berpuasa.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah 2:183)
Takwa ialah maltamat utama berpuasa. Jika takwa tidak terhasil, bermakna puasa itu gagal. orang yang gagal tidak layak bergembira. Bulan Ramadhan boleh diumpanakan sebagai madsarah (pusat pengajian). Selama sebulan, umat Islam perlu menjalani latihan mengawal hawa nafsu untuk mencapai takwa. Hanya mereka yang lulus dalam tempoh pengajian di madsarah Ramadhan ini sahaja akan dikurniakan ijazah takwa, manakala mereka yang gagal, puasanya hanya sekadar lapar dan dahaga sahaja.
Bayangkan kegembiraan siswa siswi yang mendapat ijazah pada hari konvokesyen, maka begitulah juga kegembiraan orang yang berpuasa apabila berjaya mendapat sifat takwa. Dengan takwa, mereka akan mnedapat bantuan daripada Allah S.W.T., dilepaskan daripada tipu daya musuh, mendapat jaminan rezeki, diberikan jalan penyelesaian kepada masalah melalui jalan yang tidak disangka-sangka dan pelbagai lagi. Selayaknya mereka bergembira dan bersyukur kepada Allah S.W.T. pada hari raya atas kelebihan-kelebihan itu.
Raya Orang Bertakwa
Soalnya, bagaimanakah caranya orang yang bertakwa ini meraikan kejayaan mereka? Ini penting untuk kita meniru dan meneladani mereka. Walaupun kita belum bertakwa dan puasa kita masih bertatih di tahap puasa orang yang sedang bermujahadah, namun tidak salah kita "tumpang gembira" dengan kegembiraan orang bertakwa pada hari raya nanti. Walaupun hati kita sedih mengenangkan puasa kita yang masih terumbang-ambing, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bergembira pada hari raya. Semoga dengan meniru mereka, kita akan tergolong dalam golongan orang yang bertakwa juga.
Orang bertakwa akan merayakannya dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W. Antaranya dengan:
1. Bertakbir, Bertahmid, Bertasbih Membesarkan Allah S.W.T.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu mnejadi orang bersyukur." (Surah al-Baqarah 2:185)
Hadis Rasulullah S.A.W. seperti yang diriwayatkan daripada Imam Al-Tabarani: "Sesiapa menghayati malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha (dengan amal), hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kafir dan ingkar) pada hari kiamat."
Daripada ayat al-Quran dan hadis itu, jelaslah orang yang bertakwa akan menyambut hari kemenangan itu dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Allah S.W.T. Mereka sedar, keupayaan mereka dapat beribadah puasa dengan baik kerana taufik dan hidayah Allah S.W.T. jua. Mereka tidak berbangga dengan keupayaan itu, sebaliknya tetap terasa kerdil, hina, miskin dan jahil berdepan dengan kebesaran Allah S.W.T. Oleh sebab itu, mereka terhindar daripada sifat takbur, riyak, ujub dan sum'ah dengan amalan ibadah.
2. Beribadah Terus kepada Allah S.W.T.
Daripada Abu Umamah r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah S.W.T. semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya pada (orang yang kafir dan ingkar) pada hari itu." (Riwayat Ibn Majah)
Satu petanda ibadah diterima Allah adalah timbul dorongan untuk meneruskan ibadah selepas menyelesaikan satu ibadah. Orang yang bertakwa tidak akan mengurangkan, apatah lagi memberhentikan ibadah mereka sebaik sahaja hari raya menjelang tiba. Mereka tetap istiqamah dengan mengekalkan momentum ibadah yang mereka lakukan pada bulan Ramadhan, bermula pada malam hari raya sehinggalah dua belas bulan kemudiannya; sehingga bertemu Ramadhan pada tahun berikutnya.
3. Berbuka (Makan Minum)
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Puasa (al-saum) itu ialah hari kamu berpuasa, Fitri (al-fitr) itu ialah hari kamu berbuka dan Adha (al-Adha) itu ialah hari kamu menyembelih binatang." (Riwayat Ibn Majah)
Sesuai dengan erti kalimah
'id yang bermaksud perayaan dan fitri yang bermakna berbuka atau makan minum, maka orang yang bertakwa akan berbuka (makan minum) dan tidak berpuasa pada 1 Syawal. Walaupun begitu, mereka tidak makan secara lebih-lebihan dan melakukan pembaziran. Mereka makan secara berjemaah (bersama) dengan ahli keluarga ataupun sahabat handai dalam suasana penuh ukhwah dan keceriaan.
Bagaimanakah keadaannya mereka yang tidak berjaya mencapai takwa? Mereka sebenarnya, tidak layak untuk berhari raya. Bagaimana mahu bergembira jika diri masih dibelenggu nafsu, hati masih kotor dengan dosa, fikiran masih dijajah oleh isme-isme ciptaan manusia dan pancaindera masih banyak melakukan kemungkaran?
Kalimah "fitri" juga bermaksud fitrah atau tabiat semula jadi. Maksudnya, orang Islam yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai yang pakej ibadah lain seperti solat Tarawih, bertadarus al-Quran, qiumullail, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, sewajarnya kembali kepada fitrahnya yakni seperti bayi yang baru dilahirkan. Namun, bolehkah orang yang masih bergelumang dengan dosa dan dibelenggu hawa nafsunya dianggap telah kembali kepada fitrahnya?
Tentu tidak. Aidilfitri (perayaan kembali ke fitrah) sebenarnya tidak layak disambut oleh mereka yang masih belum kembali kepada fitrah. Malah mereka sepatutnya bersedih kerana kehilangan peluang untuk membersihkan diri pada bulan Ramadhan. Mereka orang yang rugi dan sewajarnya bersedih kerana bulan Ramadhan yang penuh keberkatan, keampunan dan kelebihan sudah berlalu. Belum ada jaminan mereka akan bertemu Ramadhan akan datang.
4.
Menunaikan Zakat Fitrah
Orang bertakwa akan menunaikan zakat. Walaupun pembayarannya boleh dilakukan sejak awal Ramadhan lagi, tetapi waktu yang paling afdal untuk membayarnya adalah pada pagi hari raya selepas Solat Subuh selamat solat raya didirikan. Daripada Ikrimah, daripada Ibn Abbas berkata: "Sesiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), ia zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat (hari raya), ia sedekah biasa." (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim)
Orang bertakwa sangat prihatin terhadap nasib insan lain. Mereka akrab dengan Allah S.W.T. namun tetap intim dengan manusia. Dalam kegembiraan menyambut hari kemenangan, mereka tidak lupa untuk memberi kegembiraan kepada orang lain terutamanya fakir, miskin, anak yatim dan asnaf zakat yang lain.
Allah berfirman "Iaitu (orang yang bertakwa) orang yang berinfak (bersedekah) baik kepada waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan." (Surah Ali 'Imran 3:134)
Zakat fitrah bertujuan membersihkan kekurangan, kecacatan dan lain-lain pencemaran dalam ibadah puasa. Dalam konteks ini, Ibn Abbas: "Rasulullah S.A.W. memfardukan zakat fitrah untuk membersihkan kecacatan ibadah puasa kerana perbuatan yang sia-sia dan tidak berfaedah, di simpang menjadi habuan untuk orang miskin......." (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim)
5.
Solat Hari Raya
Semua orang Islam tidak kira tua muda, termasuk wanita-wanita yang haid disunatkan menghadiri perhimpuan tahunan yakni solat Aidilfitri. Ini memberi peluang kepada semua untuk bertakbir, mendengar khutbah, berzikir dan mengaminkan doa yang dipimpin oleh para imam. Bagi mereka yang tidak uzur, mereka berpeluang mendirikan solat hari raya ini.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W. , daripada Ummu 'Atiyyah r.a.: "Kami disuruh (Rasulullah S.A.W.) keluar membawa gadis-gadis kecil dan wanita yang haid pada hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha), agar menyaksikan kebajikan dan doa kaum Muslimin tetapi wanita yang haid disuruh supaya dipisahkan dari tempat solat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
6.
Mandi, Memakai Pakaian yang Indah dan Memakai Haruman
Pada hari raya, mereka akan mandi dan memakai pakaian yang serba baru atau yang bersih dan indah. Mereka akan pergi ke masjid melalui satu jalan dan pulang melalui jalan yang lain, dengan tujuan dapat bertemu lebih ramai sahabat handai dan saudara sesama Islam. Mereka akan mengucapkan Salam Aidilfitri sambil berbals-balas senyuaman, ucapkan tahniah dan sama-sama menyatakan rasa syukur kepada Allah S.W.T. atas petunjuk dan hidayah-Nya sehingga mampu menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Itulah antara cara orang bertakwa merayakan hari kemenangan mereka; dengan menundukkan hawa nafsu. Ia berbeza sama sekali dengan "orang yang gagal" tetapi masih tegak merayakan hari raya. Malah, tanpa rasa segan silu dan takut, mereka merayakan hari raya dengan cara mungkar. Sudahlah pada hakikatnya mereka juga bergembira dengan cara yang keterlaluan dan melampau.
Apa yang membuatkan kita sedih, belum pun bulan Ramadhan menjelma, kadangkala promosi program-program menyambut hari raya dengan cara yang salah dan mungkar ini telah pun diuar-uarkan. Suasana ibadah pada bulan Ramadhan cuba "dibunuh" oleh agenda makan minum, beli-belah dan hiburan yang keterlaluan. Pesta ibadah (Ramadhan) bertukar menjadi pesta juadah. Hari membesarkan Allah (1 Syawal) telah diganti dengan hari membesarkan nafsu amarah.
Secara terang-terangan kita saksikan bagaimana Aidilfitri telah dirayakan dengan dosa. Majlis-majlis atau acara-acara yang penuh pendedahan aurat, pergaulan, bebas, pembaziran, ketawa leka, dan berbagai-bagai jenis kemungkaran dilaksanakan kononnya untuk menyambut hari raya. Unsur-unsur ibadah dalam hari raya telah dileburkan dan diganti dengan unsur hedonismeyang pekat dengan dosa dan perkara yang melalaikan.
Aneh, mereka yang tidak layak bergembira ini pula yang bergembira, malah begembira secara melampau. Roh Ramadhan cuba dibunuh seawal Syawal. Lebih menyediakan apabila ramai umat Islam terpedaya dan turut hanyut bersama arus dosa yang sudah menjadi budaya dan diberi nilai komersial ini. Tanpa segan silu, orang berdosa ini terus bergembira dengan cara yang berdosa. Buat peringatan, marilah sama-sama kita hayati peringatan Rasulullah S.A.W. ini yang bermaksud: "Sesiapa yang ketawa ketika melakukan dosa, akan masuk ke dalam neraka dalam keadaan yang menangis." (Riwayat Abu Naim)
Ya, andai kata inilah Ramadhan yang terakhir, layaklah kita berhari raya? Marilah sama-sama kita bermuhasabah. Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang aku ucapan kepada anda semua sekali.
Thank you for reading this entry !