Sabtu, 8 September 2012

Makanan Lazat Berzat Berkat

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatah !


Iblis laknatullah berjaya menipu Nabi Adam dan Hawa melalui makanan. Dengan itu daya tersebut, Nabi Adam a.s. dan Hawa terdorong mendekati pohon yang dilarang daripada mendekatinya, lalu memakan buahnya. Abikat kekhilafan ini, kedua-duanya dikeluarkan dari syurga. Kedua-duanya terdampar dan dipisahkan bertahun-tahun lamanya di dunia. Tegasnya, sejarah penipuan pertama Iblis terhadap manusia melalui saluran makanan.

Sejarah ini cukup untuk mengajar kita betapa persoalan makan dan makanan telah, sedang dan akan terus dieksploitasi dan dimanipulasi oleh syaitan untuk menipu daya manusia agar menderhaka kepada Allah.

                      A168

Firman Allah, maksudnya: "Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah 2: 168)

Justeru, Imam al-Ghazali rhm. juga telah menegaskan bahawa sifat mazmumah yang pertama muncul dalam diri seorang kanak-kanak ialah banyak makan. Sebelum sifat-sifat mazmumah seperti tamak, marah, hasad, takbur dan lain-lain timbul, maka sifat yang mula-mula muncul ialah "hub al-ta'am" (cinta kepada makanan). Ini kerana banyak makan akan menguatkan nafsu. Nafsu makan yang berlebihan meningkatkan lagi keinginan seks dan daripada kedua-duanya timbullah pelbagai sifat mazmumah dalam diri manusia.



Jangan Bertuhankan Perut

Manusia mesti bebas daripada "mempertuhankan" perutnya. Mempertuhankan perut ertinya menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan. Inilah punca kebinasaan di dunia dan akhirat kerana kehendak hawa nafsu (jika tidak terkawal dan terdidik) itu akan sentiasa mengarah kepada kejahatan. Dan kejahatan yang dijana nafsu tiada batasan dan tidak mengenal puas. Tidak Ada kaedah lain untuk mendidik nafsu melainkan  mengawal makan.

Dalam konteks ini, Rasulullah S.A.W. bersabda yang  bermaksud: "Anak Adam itu tidak memenuhkan sebuah berjaga atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan perutnya. Sekiranya dia makan, memadailah dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang salbainya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan satu pertiga untuk makanan, sepertiga minuman dan satu pertiga nafas." (Riwayat al- Tarmizi)

Imam al- Ghazali rhm. berkata: "Jika kita ingin anak-anak menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berilah mereka makan daripada rezeki yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan fikiran mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya, anak akan menjadi derhaka kepada kita jika diberi makanan yang kotor."

Menjadi Apa yang Dimakan

"You are what you eat," (kamu adalah apa yang kamu makan). Ada benarnya ungkapan ini. Dalam Islam, makanan akan membentuk hati. Hati akan mati jika terlampau banyak makan seperti benih yang akan layu jika disiram terlalu banyak air. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Orang Mukmin makan dengan satu perut, manakala orang Kafir dengan tujuh perut." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hati akan rosak jika memakan makanan yang haram dan syubhah laksana pohon yang akan mati jika jahat, maka "dibajai" racun. Sedangkan hati umpama raja dalam kerajaan diri yang baiknya kan membaikkan seluruh pancaindera dan anggota badan. Begitulah juga jika hati jahat, maka jahatlah seluruh diri manusia.

Oleh sebab itu, berhati-hati dengan "apa" yang kita akan makan dan "bagaimana"kita mendapatkan makanan tersebut. Ia sangat penting dalam kehidupan ini kerana makanan yang kita makan dan cara hidup kita mendapatkannya akan menentukan cara hidup kita di dunia dan juga nasib kita di akhirat. Apakah prinsip asas dalam memilih makanan? Cuba tengok dan klik ini melawat ke http://honeykoyuki.blogspot.com/2012/02/tips-terbaru-untuk-makan-secara-sihat.html..

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168, bermaksudnya: "Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik." Maksudnya, kita diwajibkan memilih makanan yang halal bukan sahaja pada zatnya, tetapi juga cara mendapatkannya. Contohnya, jika kita memilih ayam, ia bukan sahaja halal tetapi wajib diperoleh secara halal sama ada dibeli dengan wang hasil bekerja atau berniaga. Yang penting bukan dengan cara mencuri, menipu atau cara-cara lain yang haram.

Makan Halal Sumbernya Haram

Ramai umat Islam terperangkap bukan oleh makanan yang haram, tetapi cara mendapatkannya yang haram! Misalnya, boleh dikatakan tidak apa orang Islam yang tegas memakan daging babi, tetapi masih ramai umat Islam yang makan makanan yang dibeli dengan wang hasil rasuah, menipu, curi tulang, dan menzalimi hak orang lain.

Dunia Islam masih dibelenggu oleh permasalahan sumber makanan yang haram angkara umara yang zalim, ulama yang khianat, peniaga yang menipu, majikan yang menindas serta pekerja yang curi tulang. Hakikatnya, mereka sedang memakan makanan yang diperoleh daripada cara yang batil dan mungkar.

A029

Firman Allah, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil melainkan dengan jalan perniagaan secara suka sama suka antara kamu. Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri." (Surah al-Nisa' 4:29)

Apakah akibat makan makanan yang haram ini? Makanan yang haram akan menggelapkan hati, mengotorkan fikiran, meresahkan emosi dan melemahkan fizikal untuk melakukan ketaatan kepada Allah.

Bahana Makanan Haram

1. Hati Menjadi Gelap

Para ulama sering berpesan: "Sesiapa yang memakan makanan syubhah selama 40 hari, nescaya gelaplah hatinya." Apabila hati gelap, seseorang akan jauh daripada taufik dan hidayah Allah. Orang tersebut akan mudah berasa bosan, benci, dan lesu dengan input-input berbentuk ilmu dan iman. Hatinya berat untuk mencari ilmu. Malah, jika majlis ilmu dan zikrullah ada di hadapan mata sekalipun, dia akan meninggalkannya.

Ibadah utama bukan sahaja mengerjakan amalan soleh, tetapi meninggalkan makanan yang haram juga ibadah yang dituntut. Justeru, Sayidatina Aisyah r.ha. pernah berkata: "Sesungguhnya, kamu telah melupakan ibadah yang lebih utama yakni menjaga diri daripada makanan yang haram."

Hati orang yang makan makanan yang halal akan dipenuhi dengan cahaya, hidayah dan makrifah. Imam al-Ghazali menukilkan dalam Ihya' 'Ulum al-Din bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang memakan sesuatu yang halal selama 40 hari, nescaya Allah akan menerangi hatinya dan mengalirkan kearifan hati melalui lidahnya." (Riwayat Abu Nu'aim)

Sebab itulah ulama-ulama terkenal zaman dahulu seperti Sheikh Abdul Qadir al-Jailani, sangat menjaga makanannya. Begitu juga Imam al-Syafi'i sangat teliti dengan makanannya. Semuanya meneladani perkara yang pernah dilakukan oleh para sahabat.Syaidina Abu Bakar al-Siddiq misalnya pernah meruntuhkan susu yang terminum olehnya apabila diketahui susu itu diperoleh dengan cara yang haram.

2. Fikiran Rosak

Memakan makanan yang haram juga akan merosakkan fikiran. Fikiran yang jahat akan sentiasa dicemari oleh idea-idea yang jahat, perancangan yang kotor dan angan-angan yang bersulam maksiat. Mungkin daya kreativiti dan invoatifnya meningkat, tetapi semuanya terarah untuk melakukan kejahatan. Apabila diajak untuk beribadah, fikiran yang kotor akan memberi pelbagai alasan untuk menolaknya.

Makanan juga boleh menajamkan fikiran. Bangsa Yahudi yang bercita-cita "menguasai" dunia sangat menjaga pemakanan mereka untuk meningkatkan daya pemikiran yang tajam. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya Islam sudah lebih dahulu fikiran manusia. Untuk membina akal yang sihat, kita bukan sahaja perlu memakan makanan yang halal dan menjauhi yang haram. Bukankah segala-segalanya berlaku dengan izin Allah?

A172

Pilihlah makanan yang baik kerana ia tuntutan agama. Firman Allah, maksudnya: "Wahai orang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal), daripada yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukur kepada Allah, jika kamu benar-benar beribadah kepada-Nya." (Surah al-Baqarah 2: 172)

3. Tidak Dapat Menjana Ibadah

Ketika menerangkan sebab-sebab yang memudahkan seseorang bangun malam (qiamullail) Imam al-Ghazali telah menulis: "Jangan banyak makan dan minum pada waktu siang dan awal malam. Banyak makan akan mengundang rasa mengantuk dan memberatkan seseorang bangun malam untuk beribadah."

Para guru sufi sering memberi nasihat kepada murid-muridnya: "Wahai murid-muridku, jangan terlalu banyak makan! Jangan terlalu banyak makan! Apabila kailan banyak makan , maka kailan akan banyak tidur dan menyesal ketika mati. Oleh sebab itu, sangat dianjurkan untuk meringankan perut daripada beban makanan. Perbuatan itu sangat baik."

Biarpun makanan yang dimakan adalah halal, tetapi jangan berlebihan. Ini boleh memudaratkan. Perut yang terlalu kenyang memerlukan lebih oksigen untuk menghadamkan makanan. Abikatnya, aliran oksigen yang sepatutnya disalurkan ke otak tidak lancar. Ini menyebabkan kita mengantuk. Apabila mengantuk, maka sukarlah untuk kita bekerja, menelah, beribadah dan melakukan amal-amal soleh yang lain.

4. Emosi Tidak Stabil

Emosi orang yang memakan makanan yang haram atau daripada sumber yang haram mudah menjadi tidak stabil. Dia akan mudah marah, takut, bimbang, resah dan bosan. Pakar-pakar pemakanan sering mengingatkan impak makanan yang pedas, berlemak dan bergas pada emosi seseorang. Namun, impak makanan haram dalam Islam adalah satu dosa.

Apa itu dosa? Ia adalah sesuatu yang meresahkan jiwa. Rasulullah S.A.W. besabda, maksudnya: "Dosa itu sesuatu yang meresahkan jiwamu dan kamu tidak suka jika dilihat oleh orang lain ketika melakukannya." (Riwayat Ahmad)

Akibat memakan makanan haram, seseorang akan sukar mengawal emosinya yang akan mengakibatkan marah, resah, sedih dan pelbagai kesan negatif. Apabila emosi tidak stabil, ada individu yang makan secara keterlaluan atau tidak makan langsung. Pengambilan nuterin daripada sumber tumbuhan dan haiwan sangat diperlukan untuk menjalankan fungsi tubuh dari segi fizikal, fisiologi dan kimia. Jadi, kita perlu berhati-hati mengambil nuterin yang syubhah apatah lagi daripada sumber yang haram.

Tidak Berlebih-Lebihan


A031

Selain menjauhi yang haram, umat Islam juga dituntut untuk tidak berlebih-lebihan dalam makan. Firman Allah, maksudnya: "Makan dan minumlah, tetapi jangan kamu melampaui batas. Berlebihan dalam makanan bukan sahaja mengundang penyakit lahiriah - darah tinggi, diabetes, lemah jantung dan lain-lain, tetapi juga penyakit hati - marah, tamak, hasad dan cintakan dunia.

Sepertimana yang telah disebutkan sebelumnya, makan berlebihan akan menguatkan hawa nafsu. Langkah mengurus dan mendidik nafsu bermula dengan menahan sumber kekuatannya. Inilah prinsip asas dalam ibadah puasa. Puasa adalah menahan (siam). Apakah yang ditahan semasa berpuasa? Yang ditahan adalah segala sumber kekuatan nafsu yakni makan, minum, pandangan, pendengaran, mencium atau apa-apa sahaja yang boleh membangkitkan kekuatannya.

Apabila nafsu makan dapat dikawal, nafsu seks juga dapat dikawal kerana kedua-duanya saling berkaitan. Namun, nafsu makan dan nafsu seks bukanlah untuk dihapus, tetapi ia perlu diurus. Maksudnya, jangan berlebihan dan melampaui batas sekalipun ia halal. Ia perlu disalurkan mengikut  batas-batas syariat. Berlebihan itu membazir dan itulah jalan syaitan untuk menyesatkan manusia.

Mencari Keberkatan

Kesedaran tentang prinsip-prinsip teras yang melatari persoalan makan dan makanan sangat penting untuk dihayati dan diamalkan oleh umat Islam. Inilah sumber keberkatan dalam hidup, baik secara individu mahupun secara berjemaah, keluarga mahupun negara. Orang gaya membazir tidak akan mendapat keberkatan dalam hidupnya. Apabila berlaku pembaziran, umat Islam akan dikuasai syaitan. Apabila syaitan mendekati, kita akan kehilangan berkat. Oleh sebab itu, apabila menyentuh tentang makanan, jangan hanya dititikberatkan soal lazat dan berkat tetapi yang lebih utama soal berkat.

Kategori ada 3 jenis dalam Makanan Lazat, Berzat dan Berkat

Lazat - Makanan yang lazat disukai oleh fitrah kita dan disukai sesiapa sahaja. Tetapi, lazat sering memudaratkan. Contohnya:
1. Daging merah yang berlemak tidak boleh dimakan secara berlebihan kerana mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi.
2. Makanan segera, minuman bergas dan makanan ringan yang telah menjadi trend remaja sekarang memang lazat, tetapi adakah ia berzat dari segi kandungan vitamin, serat dan anti oksida yang mencukupi? Atau mempunyai kandungan kolesterol, minyak, lemak dan gula yang tinggi?

Berzat - Makanan berzat tidak semestinya lazat kerana ada kalanya pahit, masam dan kelat. Disebabkan pakar-pakar makanan mengatakan ia berzat kerana ada vitamin, serat dan sebagainya, maka mahu tidak mahu kita mesti memakannya untuk menjaga keseimbangan dalam piramid makanan kita. Jadi, makanan yang berzat lebih utama daripada yang lazat.

Berkat - Namun tidak cukup setakat itu, kita dituntut memilih makanan yang berkat, iaitu halal dan baik. Ia bukan sahaja memberikan kita kesihatan, tetapi mendapat pahala apabila dimakan serta memberi tenaga dan kemampuan untuk beribadah. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya, seseorang akan mendapat pahala dalam setiap perbuatan baiknya, bahkan dalam setiap suap makanan yang disuap ke dalam  mulutnya dan mulut isterinya.



Berkat Itu Lazat dan Selamat

Makanan yang dicari dengan usaha daripada titik peluh dan secara halal, maka inilah yang paling berkat. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang berusaha mencari usaha rezeki atau nafkah untuk keluarganya daripada cara mendapatkan hasil yang halal, maka ia seperti berperang di jalan Allah (jihad di jalan Allah). Dan sesiapa yang mencari sesuatu yang haram, maka dia akan mendapat darjat orang yang syahid.

Makanan yang berkat itu jika sedikit ia mencukupi, jika banyak ia boleh diagih-agihkan. Makanan yang berkat akan memudahkan diri melakukan perkara ketaatan. Apabila kita makan, hati kita akan bersih dan mampu lakukan ibadah. Sebaliknya, makanan yang tidak berkat sedikitnya tidak mencukupi, banyaknya tidak puas. Hati akan menjadi gelap apabila kita memakannya. Diri tidak akan tergerak langsung untuk melakukan ketaatan, sebaliknya ringan melakukan kejahatan.

Ya, ingin ditegaskan sekali lagi bahawa makanan yang haram akan menggelapkan hati kita. Apabila hati gelap, maka sukar untuk menerima ilmu kerana ilmu itu cahaya. Hati umpama cermin, apabila cermin kotor, maka payahlah menerima dan memantulkan cahaya. Makanan yang haram umpama habuk , semakin sukar ilmu yang umpama cahaya, tetapi ia sendiri akan menjadi gelap-gelita.

Kesimpulannya, nafsu hanya suka pada makanan yang lazat. Akal suka pada makanan yang berzat, tetap hati suka pada makanan yang berkat. Makanan yang lazat, jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit zahir dan batin (sifat mazmumah). Makanan yang berzat akan menyihatkan tubuh badan, tetapi belum tentu menyuburkan iman. Seseorang yang memiliki tenaga dan kesihatan, tetapi apalah gunanya jika dia terarah kepada kejahatan? Lalu, pilihlah makanan yang berkat kerana di situlah letaknya kelazatan yang memadai, tahap kesihatan yang tinggi dan keberkatan yang abadi di dunia dan akhirat kita, Insya-Allah selamat!

Thank you for reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan