Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh !
Kebencian boleh membunuh kerasionalan. Sejarah membuktikan betapa kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahir segelintir golongan yang memilih komunis (Parti Komunis Malaya) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah masa itu.
Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu kini tidak mempunyai ilmu yang cukup dalam menghadapi situasi politik. Jangan sampai kebencian mengundang pihak ketiga menangguk di air keruh.
Cuba lihat tulisan Mu'awiyah kepada raja Kristian apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan "rival" politik Sayidina Ali r.a.:
"Saya tahu kamu menganggap pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Mu'awiyah tidak akan membantu Ali.
"Demi Allah, sangkaan kamu itu salah, kerana ia masalah 'ghairat" Islam. Jika kamu berani menyerang Ali maka Mu'awiyah akan berdiri di barisan paling hadapan antara tentera yang berperang di pihak Ali!"
Mungkin sudah tiba masa wujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu, iaitu golongan yang boleh dan mampu berpolitik secara matang dan profeisonal dalam bidang masing-masing, malah mereka yang lebih berobjektif, rasional dan "gentlemen" dalam menghadapi perbezaan pegangan politik. Namun keprihatinan, kesetiaan dan komitmen mereka terhadap agama, neggara dan bangsa tidak diragukan.
Aktiviti politik mereka mungkin terhadpada musium pilihan raya. Tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (pusat atau negeri) disahkan oleh perlembagaan, mereka perlu bekerja dengan tekun, disiplin dan amanah di sektor yang dipertanggungjawabkan.
Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, ia bukan alasan untuk mensabotaj kerajaan dari dalam, sebaliknya ditegur dan diperbaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Jika masih tidak berjaya, mereka akan "berpolitik" menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihan raya akan datang.
Mereka mungkin mempunyai satu persepi bebrbeza dengan mengetengahkan satu keyakinan satu baru bahawa tidak ada parti politik yang boleh mendakwa "survival" bangsa Melayu terletak pada parti tersebut, tetapi "survival" parti tersebut yang bergantung kepada orang Melayu.
Tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif dengan saranan menyandarkan kekuatan kepada "public victory" (pada parti). Seharusnya mereka dibangunkan secara proaktif dengan "personal victroy" (kekuatan diri) terlebih dahulu.
Parti Kongres ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya disebabkan masalah dalaman. Parti Kaomintang yang begitu berjasa ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap generasi baru negara. Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua.
Hakikatnya, parti hanya satu jalan kecemerlangan bangsa, manakala agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan menggunakan satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya.
Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk membina kecemerlangan.
Tangani perpecahan dengan cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku dalam kalangan profeisonal, pendakwah dan tenaga kerja Islam ketika berbeza politik antara Mu'awiyah dengan Ali. Yang "bergaduh" atas ijtihad masing-masing hanya kedua-dua pemimpin tersebut, tetapi masyarakat Islam terus menumpukan peranan masing-masing.
Sejarah membuktikan perkembangan dakwah, ilmu pengetahuan, empayar Islam dan kemajuan lain tidak terhenti sekalipun berlaku peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.
Teruskan bekerja dengan gigih dan secara profeisonal dengan meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di melebihi segala-segalanya. Jika tidak, masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?
Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan, sikap dan pandangan hidup dalam kalangan orang Melayu, tetapi kita boleh membina kematangan dan keharmonian untuk menguruskan perbezaan ini. Mari kita menyepadukan perbezaan ini menjadi perkongsian pintar, bukannya krisis yang tidak berkesudahan.
Wallahu a'lam
Jazak'Allahu Khairan for reading this entry !
Tiada ulasan :
Catat Ulasan