Sabtu, 6 April 2013

Bukan Semua Hadis itu Sahih

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatah !


Apa khabar semua? Kali kedua saya menulis ceritakan Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul (BYB!). Akhirnya, alhamdulillah saya dapat hasil tajuk isu semasa "Bukan Semua Hadis itu Sahih". Betul tak? Bukankah ini semua sama hadis tak? Biarkan saya menceritakan tentang ini. Ruangan BYB! kali ini memaparkan dialog antara dua orang pelajar; Muslim dan Bukhari yang sedang mengumpulkan bahan-bahan dan berbincang tentang ilmu hadis yang akan dibawa dalam sebuah forum di sekolah mereka nanti.

Muslim: Menariklah hadis ini; Rejab bulan Allah, Syabaan bulanku dan Ramadan bulan umatku. Boleh gunakan dalam forum kita nanti.

Bukhari: Eh, itu hadis mawdu'!

Muslim: Hadis mawdu' itu apa?

Bukhari: Hadis mawdu' ialah hadis palsu! Orang mereka satu kata-kata, selepas itu dia mengatakan ia sabda Nabi. Lalu, orang ramai pun percaya ia hadis Nabi.

Muslim: Eh, wujudkah hadis palsu?

Bukhari: Dari dulu lagi ulama hadis tidak berhenti berusaha menyaringkan hadis-hadis. Sebab itulah muncul kitab-kitab hadis sahih sahaja macam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.


Kemudian, ada juga kitab-kitab khusus yang menghimpunkan hadis mawdu' seperti kitab al-Mawdu'at oleh Imam Ibn Al-Jauzi.

Muslim: Jika bukan hadis, kenapa disebut hadis juga?

Bukhari: Sebab ia menyerupai hadis. Tambahan pula, ramai orang tersalah anggap ia hadis. Samalah macam emas tiruan, ia bukan emas sebenar tetapi orang panggil juga dengan nama "emas".

Hadis Mawdu' Bukan Hadis Daif

Muslim: Apa pula hadis daif dengan mawdu'

Bukhari: Hadis daif tidak cukup syarat kebolehterimaan hadis. Terdapat lima syarat ulama hadis gariskan. Antaranya, perawi hadis mestilah seorang yang kuat ingatan dan tidak ada kecacatan makna pada hadis tersebut.

 Hadis daif ada banyak jenis. Ada hadis shaz, mu'allal. mudtarib, munqati' dan pelbagai lagi. Ada yang boleh diterima, dan ada yang tidak boleh diterima langsung.

Hadis mawdu' pula memang tidak boleh diterima langsung kerana hadis rekaan. Bukan daripada Nabi pun, jadi bagaimana hendak dijadikan dalil dan hujah dalam beramal?

Biasanya hadis itu dinilai palsu apabila ulama hadis mengesan ada perkara hadis yang menjadi perawi atau matan hadis jelas bertentangan dengan roh syariat.


Ciri-ciri Hadis Mawdu'

Muslim: Semakin seronok perbincangan ini! Bagaimana pula ulama boleh tahu?

Bukhari: Ulama hadis dahulu memang serius mengkaji hadis. Mereka meletakkan standard dan prosedur penilaian tersendiri. Ada yang berkaitan sanad (perawi hadis) dan ada yang berkaitan matan (teks hadis).

Banyak cara ulama hadis dapat mengesan sesuatu hadis itu palsu. Antaranya dengan pengakuan si pereka hadis sendiri.

Contohnya, ada seorang abid bernama Maisarah bin 'Abd Rabbih. Dia sendiri mengaku: "Aku perhatikan manusia semakin jauh daripada al-Quran. Jadi aku buatkan hadis-hadis untuk menarik minta mereka."

Dialah yang mereka hadis berkaitan fadilat semua surah al-Quran.

Ada juga si pereka hadis ini mendakwa dia meriwayatkan sesuatu hadis daripada si polan. Apabila ulama menyelidik, rupa-rupanya si polan meninggal dunia sebelum si pereka lahir lagi. Macam-macam helah yang ulama kesan!

Muslim: Kalau orang biasa-biasa, bagaimana kita hendak tahu bahawa hadis itu hadis palsu?

Bukhari: Kita ambil sikap berwaspada. Ulama hadis ada meletakkan banyak petanda, antaranya:
  1. Isi yang bertentangan dengan fakta sama ada saintifik mahupun syariah. Contohnya, hadis yang menyatakan umur dunia 7000 tahun dan hadis yang menyatakan ada sahabat menyembunyikan ayat al-Quran.
  2. Pahala amalan yang dijanjikan melampau atau keterlaluan. Contohnya: "Sesiapa yang menyebut lailahaillallah, setiap kalimah itu Allah  jadikan seekor burung berparuh emas dan berbulu marjan."
Lalu, para ulama membuat beberapa rumusan tentang ciri-ciri hadis mawdu':
  1. Semua hadis yang menyebutkan jenis-jenis wali sufi seperti wali Nujaba, Awtad dan sebagainya.
  2. Semua hadis yang mencela sahaja Nabi, antara Mu'awiyah.
  3. Semua hadis yang menyebut: "Jika melakukan amalan sekian, maka akan mendapat pahala seperti seorang nabi atau lebih.
Kelompok Pereka Hadis Palsu

Muslim: Dahsyatnya! Siapalah yang mereka-reka hadis?

Bukhari: Ramai, antaranya qussah (motivator) dan wu'az (pentazkirah). Tujuan mereka hendak menggalakkan orang lain mendekati Islam. Contohnya ada hadis yang menyebut kecantikan bidadari di syurga sedang menanti kita dalam mahligai yang diperbuat daripada mutiara dan intan baiduri serta setiap mahligai itu ada 700 dan sebagainya.

Ada juga sebahagian golongan sufi dan tarekat mereka-reka hadis amalan tertentu seperti hadis solat raghaib serta solat sunat setiap Isnin, Selasa, Rabu, dan seterusnya. Jadi kena beringat jika terdapat hadis sedemikian.

Syair juga antara kelompok jahat yang banyak mereka hadis, contohnya menyebut kelebihan Ali dan mencela Mu'awiyah dan para sahabat lain.

Muslim: Apa contoh hadis itu?

Bukhari: "Sesiapa ingin tahu ketinggian ilmu Nabi Adam, ketakwaan Nabi Nuh, kehebatan Nabi Musa, maka tengoklah Ali. Aku (Nabi Muhammad) kota ilmu dan Ali pintu gerbangnya."

Selain qussas, sufi, Syiah dan zindik pun banyak mereka hadis. Zindik ni orang yang masuk Islam dengan niat hendak merosakkan Islam. Antara hadisnya: "Melihat kepada muka yang indah adalah ibadah."

Ada seorang zindik didapati bersalah, kemdian dihukum mati. Sebelum dihukum, dia mengaku telah mereka 4000 buah hadis palsu!

Muslim: Itu baru seorang. Mesti ramai lagi kan?

Bukhari: Ya, dapatkah kita bayangkan betapa besar jasa ulama hadis terdahulu?

Hukum Menyebarkan Hadis Palsu

Muslim: Rasa-rasanya, aku pernah menggunakan hadis palsu. Bagaimana?

Bukhari: Kalau sebelum ini tidak tahu, tak apa. Perkara yang berlalu, kita bertaubat. Perkara mendatang, sama-samalah kita beringat.

Rasulullah S.A.W. memberi amaran keras, mafhumnya: "Sesungguhnya, berdusta kepadaku tidak sama sperti berdusta kepada orang lain. Sesiapa yang telah berdusta kepadaku secara sengaja, maka persiapkan tempat duduknya di dalam neraka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Muslim: Aku cuma berfikir, kalau hadis Nabi Muhammad S.A.W. pun ada orang berani tipu, bagaimana pula dengan kisah nabi-nabi terdahulu, sahabat dan ulama terkemudian?

Bukhari: Sebab itulah Ibn al-Mubarak berkata: "Sanad itu sebahagian daripada agama. Jika tidak kerana wujud sanad, pasti orang akan bercakap apa sahaja (tentang agama) ikut suka hati!"

Itulah ceritakan tentang hadis dan dibincangkan dua pelajar, Muslim dan Bukhari. Oh rupanya, betul beliau cakap. Beliau sudah tahu tetapi kita bagaimana? Bayangkah ramai orang tahu ini semua hadis tetapi silap-silap hadis adalah hadis palsu!. So, kitab yang merekodkan Hadis Palsu antaranya,
  • Al-Iman Ibn Jauzi: Al-Mawdu'at
  • Imam al-Suyuti: Al-La'aali al-Masnu'ah Fi al-Ahadith al-Mawdu'ah
  • Imam al-Shawkani: Al-Fawa'id al-Majmu'ah fi al-Ahadith al-Mawdu'ah
  • Abu al-Hasan 'Ali bin Muhammad bin 'Araq al-Kinani: Tanzib al-Shari'ah al-Marfu'ah 'an al-Akhabr al-Shani'ah al-Mawdu'ah
  • Syeikh al-Saghani (wafat 650 Hijrah): Mawdu'ah ah al-Saghani
Jadikan sama-samalah kita beringat kalau perkara mendatang. Insya-Allah =)
      Wallahu a'lam

Jazak'Allah for your reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan