Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatah !
Selamat kembali! Maafkan saya kerana saya tak sempat nak kemaskini blog ini. Mari saya berkongsi dengan anda semua tentang isu yang baru. Mencari Hati Emas dalam Diri adalah tajuknya isu. Adakah kepada sesiapa anda semua antara mempunyai hati yang emas? Ada tak? Sudah la nak mencari sesetengah orang mempunyai hati yang emas. Mengapakah kita perlu mencari hati emas dalam hati? Hati adalah kunci utama bagi umat Islam seperti takwa kepada Allah, melakukan pilih jalan baik dan lain-lain. Buktinya hatinya suci sangat kalau rajin semangat kuat IMAN. Betul tak? =)
Manusia terdiri daripada dua unsur; jasmani (jasad) dan rohani (hati). Dua unsur ini memiliki keperluan yang berbeza. Jasmani memerlukan sesuatu yang bersifat materials seperti makanan, minuman, seks, pakaian, perhiasan dan kemasyhuran. Sebaliknya, rohani menginginkan sesuatu yang dapat dirasai seperti kedamaian, ketenteraman, kasih sayang dan rasa cinta. Jasmani berasal daripada tanah, lambang kerendahan. Sebaliknya, rohani berasal daripada tingkat yang tinggi...... sangat hampir dengan Ilahi.
Hakikat manusia ialah rohaninya. ia wadah dan sumber segala kebaikan dan kebajikan. Malah, kesejahteraan rohani. Jika rohani sakit misalnya, segala kelebihan jasmani tidak akan memberi makna.
Dapatkah seorang berselera makan sekiranya hati berada dalam keadaan gundah-gulana? Apa guna tubuh yang sihat pada sedang kecewa? Harta yang melimpah juga tidak akan berguna kepada seseorang yang sentiasa risau dan berprasangka.
Kaya hati adalah kaya sejati, demikian penegasan Rasulullah S.A.W. Oleh sebab itu, kualiti hati mesti diutamakan berbanding kuantiti harta. Ingatlah, kemuliaan manusia di sisi Allah ialah takwa. Kemuliaan manusia sesama manusia pula pada akhlaknya.Takwa dan akhlak bersumberkan hati. Jika demikian, usaha memiliki kesejahteraan hati mesti diletakkan sebagai keutamaan dalam kehidupan. Ia lebih utama daripada cincin emas atau gelang permata. Tanpa hati emas, hidup di dunia dan akhirat akan terseksa.
Hati adalah tempat jatuh "pandangan" Allah. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kami di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat 49:13)
Ini menegaskan piawaian yang telah Allah tetapkan dalam menilai kualiti seorang insan. Kualiti ini dinilai pada kualiti hati. Malah Rasulullah S.A.W. turut menegaskan, mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) jasad kamu mahupun hartamu, bahkan Allah melihat hati kamu." (Riwayat al-Tabarani)
Jasad lahir hanya tumpuan manusia. Untuk bahagia, tenang dan berjaya dalam hidup, sama ada di dunia atau akhirat, kita mesti mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia. Allah itu Pencipta, Penentu dan Pemutus segala-galanya, justeru nilailah diri kita mengikut nilaian Allah. Insya-Allah, jika Allah telah diutamakan dalam segala urusan, pasti tidak ada sesiapa yang mampu mengahalang kita daripada mencapai kejayaan.
Sifat Hati
Hati itu bersifat bolak-balik. Rasulullah S.A.W. memberi perumpamaan, hati bagaikan kuah yang sedang mendidih dan menggelegak. Simpang-siurnya begitu licik. Naik turun dan berbolak-balik. Kadangkala ia baik, bagaikan fitrah asalnya dahulu. Ketika itu ia umpama kain putih yang menghamparkan warna kejernihan dan kesucian. namun, seseketika yang lain ia bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.
Hati yang bolak-balik itu akan aman apabila beriman. Justeru, muttaqin pernah memberi petunjuk: "Apabila hatimu keras, buas dan liar sekali, bukalah al-Quran, bacalah dan tadabbur makna dan rasanya. Bukankah al-Quran itu penawar hati? Namun jika masih keras juga, dirikan solat. Solat itu zikir penyucian hati. Namun sekiranya masih keras jua... bangunlah pada waktu dinihari. Berwuduk dan berdoalah, pintalah kepada Tuhan agar dikurniakan hati "lain" kerana hati yang kau miliki waktu itu hakikatnya bukan hatimu lagi!"
Hati itu berbolak-balik kerana sentiasa ditarik antara dua graviti:
- Graviti tahap tinggi pintalan ilham para malaikat
- Graviti tahap hina tiupan para syaitan. Ketika melihat si miskin meminta-minta, suara hati berdetik... bantulah dia, insan lara yang datang mohon bantuan. Namun sedetik cuma tiba-tiba graviti bertukar, memberi alasan, biarkan.... itu balsan buatnya akibat kemalasan!
Hati ialah elemen yang paling kuat dalam diri manusia. Ia pemerintah kepada seluruh anggota. Padanya terletak kemahuan dan dorongan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. "Hendak" itu letaknya di hati. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Dalam diri Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad..... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Fitrah hati itu adalah kemuliaan. Berbeza dengan fitrah jasad yang bersifat kerendahan. Justeru, keperluannya sangat berbeza berbanding jasad. Hati mesti dihindarkan daripada dikuasai oleh keinginan-keinginan yang rendah nilai seperti kecintaan kepada kehendak syahwat dan dunia. Itu bukan keperluannya. Jika hati telah dikuasai oleh nafsu dan dunia, ia mesti dibersihkan.
Qalbun Salim
Betapa tingginya nilai hati telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa lahir kamu, tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim)
Oleh sebab itu, dalam hidup kita mesti berusaha untuk mendapat hati emas. Itulah qalbun salim atau hati yang sejahtera. Hati emas itu ditunjangi oleh tauhid yang kukuh dan dihiasi pula oleh sifat-sifat mahmudah. Insan yang memilikinya, akan indah dan gagah mendepani apa-apa jua cabaran dan masalah.
Perjuangan untuk memiliki hati yang sejahtera perlu diutamakan. Inilah perjuangan yang menentukan sama ada kita bahagia atau celaka di dunia dan akhirat. Hidup di dunia ini sebenarnya medan atau gelanggang perjuangan untuk mendapatkan hati yang sebegitu. Qalbun Salim adalah "KPI" yang akan dinilai oleh Allah di padang mahsyar nanti.
Allah berfirman, mafhumnya: "Hari yang tidak berguna lagi segala harta dan anak-pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan membawa hati yang sejahtera." (Surah al-Syu'ara 26: 88-89)
Menurut ulama, untuk selamat di akhirat, seorang hamba Allah mesti memiliki hati yang sejahtera sekalipun sedetik sebelum nyawa dicabut oleh malaikat maut. Maksudnya, dia mesti memiliki hati emas itu di dunia lagi sebelum berpindah ke alam barzakh seterusnya ke alam mahsyar. Sekiranya, dia mati dalam keadaan gagal memiliki hati yang sejahtera, maka perjalanannya ke alam-alam seterusnya menjadi sangat sukar dan di hujungnya akan terjerumus ke neraka. Nauzubillah!
Orang yang memiliki hati emas akan mendapat al-jannah al-'ajilah (syurga yang disegerakan) di dunia lagi sebelum syurga yang hakiki dan abadi menanti di akhirat nanti. Ulama sufi menyatakan: "Sesiapa yang tidak merasai al-jannah al-'ajilah di dunia, itu petanda dia sukar untuk mendapat syurga yang hakiki di akhirat nanti." Apakah yang dimaksudkan dengan syurga yang disegerakan itu?
Ia sebenarnya ketenangan jiwa. Orang yang tenang jiwa inilah yang akan merasakan bahagia. Dengan ketenangan itu mereka dapat menerima apa jua ujian Allah, sama ada yang berbentuk nikmat atau azab. Jika yang diberi "gelap", mereka sabar. Jika yang dianugerahkan "terang" mereka bersyukur.
Nikmat tidak menyebabkan mereka alpa. Sukar tidak menyebabkan mereka kecewa. Dengan hati emas itu mereka mengukir tadbir di hamparan takdir. Setiap kali menghadapi masalah mereka tidak akan mengeluh: "Ya Allah , besarnya masalahku!" Sebaliknya mereka akan berkata: "Ya Allah, sesunggguhnya Engkau lebih besar daripada masalahku!"
Kenal dan Cinta Allah
Hati emas ialah hati yang mengenal Allah dan jatuh cinta kepada-Nya. Ya, mengenal Allah S.W.T. tidak mampu dicapai oleh anggota lahiriah, tetapi oleh kekuatan hati. Hati itu dicipta oleh Allah dengan kemampuan untuk "melihat" dan merasa sesuatu yang sangat seni dan maknawi sifatnya.
Pandangan mata hari yang dapat menjangkau kebesaran Allah dan "daerah-daerah" rohani yang tinggi inilah yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya bukan mata yang buta, tetapi buta ialah hati yang ada dalam dada." (Surah al-Hajj 22:46)
Oleh sebab itu, "alat" mengenal dan mencintai Allah yang paling penting ialah hati. Akal hanya permulaan sahaja. Alim (mengetahui), amal dan arif (mengenal) adalah tiga langkah berkesinambungan untuk mengenal Allah. Justeru, mengenal dengan akal tentang sifat- sifat kesempurnaan Allah tidaklah memadai. Ia perlu diresapkan ke dalam hati melalui ibadah-ibadah fardu dan sunat. Seterusnya, ibadah inilah yang akan mengasah hati untuk mengenal Allah.
Sebab itu ahli-ahli yang arif sering mengungkapkan bahawa hakikat ilmu itu ialah "ketibaan" makna pada hati. Melalui pembelajaran tauhid, kita mengetahui Allah itu wujud, Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan sebagainya. Namun mengetahui sahaja tidak cukup. Kita perlu merasai Allah itu ada, Maha Melihat dan Maha Mendengar dan sebagainya.
Mengapa kita perlu merasai bukan sekadar mengetahui? Ya, jauh berbeza antara seorang yang mengetahui Allah itu ada dengan mereka yang merasai Allah itu ada. Orang yang mengetahui Allah ada, masih tega melakukan kejahatan, tetapi orang yang sudah merasai Allah itu ada tidak akan berani melakukan kejahatan. Tauhid sudah dihayati, yakni sudah meresap ke dalam hati. Tidak hanya berlegar-legar sebatas kepala (akal).
Inilah cabaran utama dalam kehidupan beragama alaf ini. Input-input tauhid hanya dipelajari sebatas otak kiri; diketahui, dihafal dan kemudian dipindahkan ke atas kertas peperiksaan. Akhirnya sistem pendidikan hanya mampu melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kelulusan dalam mata pelajaran agaam, tetapi tidak "beragama" dalam realiti kehidupan sehari-hari. Kelulusan agamanya berjela-jela, tetapi hilang wibawa kerana rakus dengan dunia dan kuasa.
Masyarakat tertanya-tanya, mengapa semua ini berlaku? Mengapa ilmu agama yang dipelajari sejak tadika tidak berjaya melahirkan pelajar berakhlak baik? Jawapannya, sistem pembelajaran dan pendidikan yang ada belum berdaya menangani soal hati! Kita hanya melahirkan para mualim yang memindahkan ilmu, tetapi kurang murabbi yang mampu memindahkan rasa daripada penghayatan tauhid ke dalam hati.
Amalan Hati
Imam al-Nawai menegaskan bahawa jika amalan-amalan lahiriah dilaksanakan tanpa "amalan-amalan" hati, ia tidak akan membawa sesoerang dekat dengan Allah. Sedangkan taqarrub ila Allah (dekat dengan Allah) itu tujuan kit beribadah.
Amalan solat misalnya, jika yang dijaga dan dilaksanakan hanya rukun qawli (bacaan) dan fi'li (perbuatan) tanpa kehadiran rukun qalbi (rasa hati) seperti merasai kebesaran Allah, takut, berharap, malu dan rasa-rasa kehambaan yang lain, ia akan menjadi sia-sia. Itulah antara pengertian orang yang lalai dalam solatnya!
Solat yang dilaksanakan tanpa rasa-rasa hati seperti yang dinyatakan ini akan gagal mencapai tujuan utamanya iaitu ingat Allah. Allah berfirman seterusnya yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku." (Surah Taha 20:14)
Sesungguhnya, mengingat Allah adalah "kerja" hati. Hanya apabila solat didirikan dengan khusyuk (dengan rasa kehambaan) barulah solat itu mampu mencegah pelakunya daripada perbuatan fahsha' dan mungkar. Begitu juga ibadah puasa, zakat dan sebagainya, perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan penuh rasa kehambaan.....
Jika tidak amalan itu bukan sahaja tidak berkesan, tetapi ditolak oleh Allah S.W.T.
Wallahu a'lam
Jazak'Allah Khair for your reading this entry !
Salam...terima kasih ....semoga anda dirahmati Allah....cuma terdapat ejaan yang salah boleh menyebabkan kekeliruan bagi yang lemah pemahaman...salam
BalasPadam