Assalamualaikum !
Kita bukan sahaja apa yang kita makan, tetapi kita juga ialah apa yang kita dengar, baca dan tonton. Apa-apa sahaja yang kita dengar, baca dan dengar akan membentuk diri kita kerana semua itu hakikatnya ialah makanan rohani kita.
Sepertimana makanan yang berkolesterol, berlemak dan beracun akan memberi kesan mudarat kepada fizikal kita, maka "makanan rohaniah" yang buruk, negatif dan lucah akan merosakkan rohani kita. Itu akan memberi kesan negatif kepada jiwa dan pembentukan peribadi kita.
Apakah yang dimaksudkan dengan rohani? Rohani kita ialah hal-hal dalaman yakni akal dan hati kita. Akal dan hati lebih mudah dipengaruhi oleh apa-apa yang kita lihat, dengar dan baca. Semua ini secara langsung akan memberi kesan kepada pemikiran dan perasaan kita. Ini kerana akal berfungsi untuk berfikir, hati pula berfungsi untuk merasai.
Apabila perkara-perkara yang negatif kita berikan kepada akal fikiran, ini akan memberi bentuk fikiran yang negatif dan rasa yang negatif juga.
Apabila kita melihat perkara-perkara yang kotor, maka fikiran kita akan turut kotor dan mula memikirkan perkara-perkara yang kotor. Apabila input yang negatif ini sudah melekat dalam fikiran, ia agak sukar untuk dipadamkan. Ia akan sentiasa bermain-main dalam fikiran dan akhirnya akan mengarahkan seluruh pancaindera kita ke arah perkara juga kotor. Jadi tidak hairan, jika lahir perlakuan-perlakuan yang kotor dalam kehidupan sehari-hari.
Begitu juga hati kita. Hati terlalu seni dan sensitif sifatnya. Apa-apa yang dilihat oleh mata akan turun ke hati. Oleh sebab itu Rasulullah S.A.W pernah menegaskan sesiapa yang menjaga mata akan mendapat kemanisan iman.
Mata hakikatnya ialah jendela bagi hati. Apabila jendela telah memaparkan gambaran-gambaran yang kotor, maka hati akan turut kotor. Hati yang telah kotor ialah keadaan yang paling bahaya kerana ia raja atau pemimpin dalam diri manusia.
Bayangan kalau pemimpin sudah rosak, apakah kesannya kepada rakyat dan negara? Maka begitulah juga apabila hati telah rosak, maka seluruh peribadi individu berkenaan akan menjadi "mesin perosak" yang siap siapa melahirkan kerosakan dalam masyarakat.
Islam sangat menitik beratkan "rasa-rasa" yang boleh singgah dan bertapak dalam hati dan fikiran. Jika kita bersangka buruk misalnya, Islam menegaskan bahawa itu pun merupakan satu dosa. Maksud larangan Allah S.W.T. ini ialah supaya kita sangat menjaga hati dan fikiran. Jangan sekali-kali dicemari oleh rasa-rasa yang buruk.
Tetapi rasa-rasa inilah yang akan terpupuk secara tidak langsung apabila kita melihat sesuatu yang lucah dan kotor. Bermacam-macam rasa yang negatif ini akan memberi "keseronokan" pada untuk jangka masa yang pendak, tetapi buruk untuk jangka masa yang panjang. Ia umpama tindakan "menggaru" pada kudis yang kronik.
Kita dituntut supaya menjaga tubuh badan daripada penyakit-penyakit lahiriah seperti diabetes , darah tinggi dan kanser. Dengan itu kita digalakkan memakan makanan yang berzat dan menjauhi makanan yang memudaratkan.
Jika tubuh badan kita pun perlu disayangi, sepatutnya hati dan akal lebih patut lagi disayangi. Kita sepatutnya lebih menjaga hati dan akal daripada penyakit-penyakit rohaniah. Ini kerana pesakit-pesakit rohaniah lebih menderita bukan sahaja di dunia oleh rasa gelisah, rasa bersalah, marah dan sebagainya, tetapi akan turut menderita di akhirat.
Sepatutnya kesedaran seumpama inilah yang menjadi pertimbangan kita apabila membincangkan tentang isu-isu moral dan perkara-perkara yang seumpama dengannya. Kita perlu melihat sesuatu masalah itu, bukan sahaja dari segi akibatnya sahaja tetapi mesti ke akar umbinya. Maksudnya, perlu menerobos dalam diri manusia. Persoalan sebenar, mengapa masyarakat suka perkara-perkara yang kotor?
Bahan bacaan, tontonan dan pendengaran yang negatif memberi gambaran keadaan masyarakat kita yang sebenarnya. Kita sebenarnya bukan sahaja dilimpahi oleh sampah-sampah lahiriah, tetapi juga sampah-sampah batiniah. Ini tidak akan berleluasa sekiranya masih ramai anggota masyarakat yang sensitif dan prihatin.
Tetapi apa boleh buat, majoriti masyarakat tidak mempunyai kesedaran. Jadi kita perlu berusaha menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat sendiri bahawa mereka perlu berhati-hati memberi makanan kepada rohani mereka. Berhati-hati dengan sampah dalam hati kita! Wallahu a'lam.
Thank you for reading this entry !
Tiada ulasan :
Catat Ulasan