Rabu, 16 Januari 2013

Bekalan Siyam Qiyam Diam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatah !


Bertemu kita sekali lagi di dalam ruangan ini dan semoga anda semua sihat sejahtera. Sorrylah I'm busy sehingga saya terlupa nak update blog kan. Kepiluan ditinggalkan Ramadan masih berbekas di hati kita. Kenikmatan beribadat sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu seolah-olah disentap daripada dakapan kita. Sunyi hati ini daripada kemeriahan ibadah dan amalan mulia sepanjang sebulan berpuasa. Apakah kita dipilih oleh Allah S.W.T. untuk bersama Ramadan pada tahun hadapan?

Sebelum melangkah lebih jauh meninggalkan Ramadan, renungi dalam diri - apakah yang telah dipelajari daripada Ramadan yang berlalu? Adakah ia sekadar menjadi rutin tahunan, datang memenuhi kalendar tahunan, mengisi diari dan agenda diri atau silih berganti dengan program dan aktiviti lain?

Jika semua itu benar, malulah kepada para solihin terdahulu kerana dikhabarkan mereka menangisi dan meratapi kehilangan Ramadan selama berbulan-bulan lamanya. Enam bulan sebelum muncul Ramadan berikutnya, mereka sudah ternanti-nanti kehadirannya.

Tiga Subjek Utama

Apabila terkenangkan Ramadan, maka tiga perkara yang amat terkesan di hati kita adalah siyam, qiyam dan diam. Jika ditanya tentang kesan utama Ramadan, pelajaran penting daripada ibadah puasa, bekalan yang diperoleh untuk bulan-bulan mendatang, maka jawablah bahawa kita telah belajar siyam, qiyam dan diam.

Dalam bulan Ramadan terangkum siyam (puasa), qiyam (ibadat malam), dan diam (iktikaf). Inilah tiga amalan utama dan istimewa pada bulan Ramadan. Apabila bertemu Ramadan, tunaikan dan tingkatkan ketiga-tiga amalan ini kerana amat istimewa dengan pelbagai ganjaran dan janji Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. buat mereka yang berpuasa, berjaga malam dan beriktikaf pada bulan mulia ini.

Tiga perkara ini jugalah yang memberi kesan kepada kita jika diamalkan dengan penuh keimanan dan ihtisaban (bermuhasabah diri serta mengharap kurniakan Allah S.W.T.). Bagi yang memenuhi tuntutan amalan Ramadan ini, pasti terasa kesannya dan terbawa-bawa ke bulan-bulan mendatang.

Amalan yang berteruskan bukan sekadar menjadi ramadaniyyin, tetapi lahir sebagai jiwa baru; rabbaniyyin. Didikan Ramadan mendidik kita menjadi muttaqin (orang bertakwa). Madrasah Ramadan mengajar kita untuk memelihara siyam, qiyam dan diam.

1) Siyam

Siyam (puasa) adalah amalan menahan diri, daripada yang halal, tetapi ditegah pada bulan Ramadan. Siyam mendidik kita mengendali jiwa, agar mampu mengawal nafsu, syahwat dan kehendak peribadi supaya tunduk kepada perintah Allah S.W.T., melaksanakan suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya, memurnikan amalan dan memperelokkan peribadi.

Semasa siyam, perkara yang asalnya halal (makan, minum dan sebagainya) perlu ditinggalkan, apatah lagi yang sememangnya haram pasti dijauhi sepenuh hati. Siyam adalah latihan disiplin, kepatuhan, kejujuran dan ketakwaan untuk diri kita. Ini kerana hanya kita dan Allah S.W.T. mengetahui perkara yang kita lakukan sepanjang berpuasa.

Siyam mengajak kita fokus kepada diri, menilai ketaatan sendiri, menyuburkan iman dan takwa, mencabut dan membuang jauh-jauh sifat mazmunah dan keji agar diri kita kembali menjadi hamba rabbani.

2) Qiyam

Ramadan juga dimeriahkan dengan qiyam menghidupkan malam dengan amal ketaatan. Kita ke masjid, solat berjemaah, menggandakan amalan, bertarawih, bertadarus dan mengkhatamkan al-Quran serta menjalinkan silaturahim sesama jiran dan jemaah. Kemudian, disambung pula sepanjang waktu malam dengan zikir, selawat, solat tahajud dan qiamullail sehingga waktu sahur. Indah sungguh kehidupan malam pada bulan Ramadan.

Qiyam mengajak kita agar kurang tidur dan memberikan ruang untuk beribadat kepada Allah S.W.T. Kurang tidur bereti kurang rehat dan kurang selesa. Kita perlu keluar daripada zon selesa untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Berjaga malam atau qiamullahi bertujuan mendampingi kekasih kita; Allah S.W.T. dan penghulu buana; Rasulullah S.A.W. tercinta. Demi Kekasih, kita tinggalkan tilam yang empuk, kerehatan dan kenikmatan suami isteri demi beribadat kepada-Nya.

3) Diam

Ramadan juga dipenuhi dengan diam (iktikaf). Iktikaf yang digiatkan menjelang 10 hari terakhir mencontohi amalan Rasulullah S.A.W. Semasa iktikaf, kita sebenarnya memutuskan sebarang perhubungan dan interaksi duniawi untuk fokus dengan amalan di masjid. Iktikaf bererti pegun atau diam. Mengurangkan aktiviti, pengerakan dan interaksi agar fokus tidak lepas daripada beribadat kepada Allah S.W.T.

Diam juga bererti mengehadkan interaksi dengan dunia dan makhluk agar lebih terarah menuju Tuhan. Selain itu, diam didefiniskan sebagai tidak banyak bergaul, tidak mengambil kasih serta tidak mencampuradukkan perkara-perkara yang tiada keutamaan atau kepentingan.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W., maksudnya: "Antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa-apa yang tiada kena-mengena dengannya." (Riwayat al- Tirmizi)

Meninggalkan perkara yang tidak berkenaan, tidak berfaedah dan sia-sia antara kebaikan seseorang Muslim. Ikhtikaf mengajar kita untuk berdiam. Kurangkan keghairahan mengambil tahu urusan yang tiada kena-mengena dengan kita. Jangan sibukkan diri dengan kesibukan duniawi kerana ia tidak akan pernah habis.

Iktikaf (diam) membawa kita menghampiri Allah S.W.T. dengan menjauhi hiruk-pikuk kehidupan. Ikitkaf juga mendidik kita mengawal diri agar tidak menyakiti dan mencampuri urusan orang lain.

Siyam + Qiyam

Siyam dan qiyam juga mengangkat kedudukan rohani kita daripada tahap manusiawi biasa kepada manusia yang lebih tinggi kedudukannya dari segi rohani. Kedua-duanya menjadikan kita kurang makan, kurang tidur dan mengawal nafsu. Jika ciri-ciri malaikat (tidak makan, tidak minum, tidak tidur, dan tidak bernafas) dapat kita pertahankan untuk bulan-bulan mendatang, saksikanlah perubahan yang akan berlaku dalam kehidupan kita.

Jika siyam adalah untuk introspektif diri serta mendidik jiwa dan roh, maka qiyam dapat meningkatkan nilai diri di sisi Tuhan. Siyam adalah latihan mendisplinkan diri, manakala qiyam pula latihan untuk mendampingi Allah dan Rasul-Nya. Kombinasi siyam dan qiyam mempertuatan diri manusia dengan Tuhan. Pertautan ini akan menumbuhkan bibit-bibit takwa dalam diri dan ia sebaik-baik bekalan.

2:197

Firman Allah S.W.T., maksudnya: "Apa-apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui Allah dan berbekallah dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa." (Surah al-Baqarah 2:197)

Bekalan takwa inilah yang amat diperlukan untuk kesinambungan hidup kita seterusnya dalam ketaatan dan perhambaan.

Siyam + Qiyam + Diam

Diam atas tujuan iktikaf adalah berdiam diri untuk Allah. Duduk berdiam diri, mengharap keredaan Ilahi hanya mampu ditunaikan oleh orang yang telah terdidik dengan siyam dan qiyam. Maka, siyam, qiyam dan diam terbentuk sebagai satu pakej pembinaan peribadi Mukmin yang bertakwa.

Setelah Ramadan semakin jauh berlalu, adakah kita masih terasa kehangatan siyam, qiyam dan diam? Atau adakah kita perlu menunggu Ramadan akan datang untuk kembali mengahayatinya? Sewajarnya, pelajaran daripada tiga subjek utama ini terus tersemat di sanubari kiat agar ia menjadi amalan yang terus tyerperlihara, tabiat yang semakin meningkat serta bekalan sepanjang kehidupan.

Siyam mengajar manusia mengawak diri. Qiyam menuntut mujahadah untuk menuju Ilahi. Diam membuatkan kita lebih peka dalam interaksi sesama kita. Jika ketiga-tiga sifat ini dipenuhi, dihayati dan dijaga, maka ia akan membawa kita ke mercu ketakwaan dan ketinggian makarim al-akhlaq.

Akhlak mulia menuntut manusia menjaga akhlaknya dengan Allah, abad dengan Rasul serta mengawal diri dan memperbaiki interaksi dengan makhluk. Semoga semuanya dapat kita bertemu lagi dengan Ramadan akan datang. Amin.
        Wallahu a'lam

Thank you for reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan