Rabu, 29 Januari 2014

Sebarkan Salam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh !


Rasulullah S.A.W. bersabda: "Kamu semua tidak akan dapat masuk syurga sehingga kamu benar-benar beriman. Dan tidak sempurna imanmu sehinggalah kamu saling berkasih sayang. Mahukah aku ajarkan kepadamu amalan yang akan menimbulkan kasih sayang? Sebarkanlah salam dalam kalangan kamu." (Riwayat Muslim)

Salam 1 Muslim dan Muslimat di seluruh dunia.. Saya, Muhammad Fakhrurazzi Bin Mat Sedik akan menyampaikan sebuah dakwah hadis bertajuk "Sebarkan Salam" pada Hari Rabu masa kurang lebih 12.00 tengah hari.. Dalam pejabat, aku buat update blog ini dengan senyap tetapi tak banyak taip ceritakan ini.. Kerana saya sentiasa sibuk dengan kerja aku sekarang.. Kita sebarkan salam kepada kalangan saudara Islam yang ditemui.. Agar mendapat pahala yang dihargai.. Bila jumpa seseorang, memberi salam dulu.. Itulah memang lebih baik..

Demikianlah hebatnya amalan memberi salam sehingga ia menjadi faktor penting untuk mendapat ganjaran syurga. Bahkan Rasulullah S.A.W. juga mengajar umat Baginda agar mengucapkan salam ke atas diri masing-masing dan semua hamba Allah yang soleh dalam setiap bacaan tahiyat dalam solat dengan lafaz assalamualaina wa 'ala ibadillahi solihin.

Salam = Doa

Menurut Syeikh Ibn Uthaimin dalam Syarh Riyah al-Solihin: "Apabila seseorang mengucapkan salam, bermakna dia berdoa agar Allah menyelamatkan saudaranya itu dari sebarang penyakit, selamat daripada kejahatan-kejahatan manusia, selamat daripada terjerumus ke dalam maksiat, selamat daripada segala keburukan."

Lafaz "al-salam" ialah salah satu daripada nama-nama Allah yang mulia. Hal ini bereti hanya Allah yang berkuasa melimpahkan keselamatan dan kesejahteraan kepada setiap hamba-Nya.

Maka ketika mengungkapkan lafaz tersebut, hati setiap Muslim mestilah selaras dengan ucapannya, iaitu mendoakan kebaikan saudaranya serta merasakan hanya Allah yang berkuasa menganugerahkan kesejahteraan tersebut.


Alangkah indahnya apabila ucapan ini selalu ditujukan kepada isteri, suami, anak-anak, rakan sepejabat, sahabat handai, jiran tetangga, sesama jemaah masjid dan setiap saudara Islam yang ditemui.

Adab Memberi Salam

Rasulullah S.A.W. bersabda: "Hendaklah orang di atas kenderaan memberi salam kepada yang berjalan, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang lebih dewasa." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W. juga sentiasa mendahului para sahabat dalam memberi salam termasuklah kepada kanak-kanak yang sedang bermain di tepi jalan. Baginda menegaskan bahawa orang yang lebih utama di sisi Allah ialah yang memulakan salam. Bahkan sekiranya beberapa orang sedang berjalan dalam satu kumpulan, lalu berpisah seketika disebabkan halangan pokok atau batu yang besar di tengah jalan, maka digalakkan memberi salam apabila bertemu kembali selepas halangan tersebut.

Baginda bukan sahaja memberitahu kelebihan salam, tetapi menjadi insan yang paling istiqamah mengamalkan apa-apa yang disampaikan. Demikian juga dalam aspek lafaz salam, ia mestilah diucapkan dengan betul dan lengkap kerana ia membezakan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah.

Ucapan "assalamualaikum" mendapat sepuluh pahala. Ucapan "assalamualaikum warahmatullahi" mendapat dua puluh pahala. Ucapan "assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh" mendapat tiga puluh pahala.

Kirim Salam

Amalan ini diharuskan berdasarkan hadis yang diceritakan oleh Sayidatina Asiyah bahawa Rasulullah bersabda kepadanya: "Wahai Aisyah, Jibrail menyampaikan salam kepadamu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, amalan "kirim salam" kepada Rasulullah sekiranya ada sahabat atau ahli keluarga yang ingin berkunjung ke Kota Madinah, adalah kurang tepat.

Ucapan salam dan selawat kepada Baginda boleh di ucapkan di mana sahaja kita berada dan ia pasti akan disampaikan kepada Baginda oleh malaikat yang ditugaskan khusus oleh Allah. Jadi, hendaklah kita memperbanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Baginda sebagai bukti kecintaan kita kepada Baginda.

Menjawab Salam Orang Bukan Islam

Apa yang harus dilakukan sekiranya seseorang bukan Islam mengucapkan salam kepada kita?

Jawapan yang diajar oleh Nabi ialah mengucapkan "wa'alaikum" yang bermaksud "dan ke atas kamu juga apa yang kamu doakan kepadaku." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekiranya orang bukan Islam itu menyebut "al-samu 'alaikum" yang bermaksud "celakalah ke atas kamu" maka akan kembali kepada dirinya kecelakaan itu. Sekiranya dia menyebut dengan lafaz salam, bermakna kita mendoakan agar kesejahteraan juga kembali kepadanya dengan harapan ia mendapat hidayah kepada orang Islam pada suatu hari.

Sebarkan Sayang dengan Salam

Marilah kita menghidupkan sunnah ini. Sebarkan kasih sayang melalui salam. Mulakan dengan menghadiahkannya kepada insan-insan yang kita sayangi. Bayangkan apabila kita saling memberi dan menjawab salam, ini bermakna kita sedang saling mendoakan kesejahteraan antara satu sama lain.

Usah ditunggu orang di sekeliling untuk memulakannya, bahkan kitalah yang mendahului memberi salam kerana itulah yang diamalkan oleh Rasulullah. JIka benar cinta kepada Baginda, kita pasti akan bersungguh-sungguh untuk membuat apa yang disukainya. Pepatah Arab menyebut: "Sesungguhnya seseorang yang mencintai pasti mentaati orang yang dicintainya."
      Wallahu a'lam

Jazakallahu Khairan for your reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan