Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatah !
Membayar hutang di dunia dengan wang. Manakala membayar hutang di akhirat dengan pahala dan dosa. Oleh Rasulullah S.A.W. menggesa kita melangsaikan segala hutang selagi masih di dunia dan selagi wang serta harta masih diterima oleh manusia. Pahala itu lebih bernilai daripada harta, dan miskin di dunia lebih ringan daripada miskin di akhirat.
Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pernah melakukan kejahatan kepada orang lain sama ada berkaitan dengan kehormatan ataupun selain itu, maka mintalah dihalalkan pada hari ini sebelum tidak berguna lagi dinar dan dirham. Jika dia memiliki amal soleh, maka ia akan diambil dosa orang yang dilakukan perbuatan jahat tersebut lalu dibebankan kepadanya." (Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi)
Satu Kezaliman
Kita Masih berbincang tentang hari pembalasan. pada hari itu nanti, semua perbuatan kita selama di dunia akan diperhitungkan. Semua hak akan dicukupkan kepada pemiliknya. Tiada satu pemilik hak pun yang akan dihalangi daripada hak-haknya yang dizalimi. Dan tiada seorang pun yang dapat lari daripada hak orang lain walaupun sedikit.
Salah satu hak tersebut ialah hutang dan pinjaman. Salah satu daripada penyakit manusia ialah mengelak atau "melarikan" diri daripada melunaskan dan membayar hutang. Ramai juga pemberi hutang yang hanya mampu bersabar lantaran tidak mampu untuk meraih kembali hak-haknya.
Enggan membayar hutang merupakan satu bentuk kezaliman yang keji. Pelakunya boleh dikatakan telah membalas kebaikan dengan keburukan. Oleh sebab itu, ia sangat dibenci di sisi Allah dan di mata manusia.
Rasulullah S.A.W. bersabda, mufhumnya: "Menangguhkan hutang padahal mampu membayarnya adalah satu kezaliman." (Riwayat al-Bukhari)
Sebagai agama yang mencintai keadilan, Islam sangat menghormati hak pemilikan seseorang. Islam melihatnya sebagai sesuatu yang suci. Tiada sesiapa yang boleh mengambil hak milik orang lain tanpa keizinan dan kerelaan hati daripada pemiliknya.
Daripada Abu Humaid al-Saidi, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak halal bagi seseorang mengambil tongkat saudaranya tanpa kerelaan hati saudaranya." (Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya)
Al-Amir al-San'ani menyatakan dalam Subul al-Salam: "Hadis ini menunjukkan haramnya harta seorang Muslim terhadap orang lain, walaupun sedikit kecuali dengan kerelaan hati. Dan jimak telah berlaku bagi perkara ini."
Hak Orang Bukan Islam
Kesucian hak milik harta tetap terjaga meskipun berkaitan dengan seseorang yang bukan beragama Islam. Seorang Muslim wajib menjaga hak orang lain tanpa mengira bangsa dan agama kerana perbuatan ini merupakan akhlak mulia yang disokong dalam Islam.
Rasulullah S.A.W. mengecam orang yang menzalimi hak orang bukan Islam. Orang seperti ini tidak akan mendapat syafaat Baginda pada hari kiamat nanti. Malah, dia akan menjadi musuh Nabi S.A.W. Dalam Sunan Abu Daud, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi mu'ahid (kafir zimmi), mencelanya, membebaninya dengan tugasan yang melebihi kemampuannya atau mengambil sesuatu dari padanya tanpa kerelaan hati, maka aku akan menjadi musuhnya pada hari kiamat nanti."
Mati Membawa Hutang
Kerana hutang berkaitan dengan hak manusia, maka ia tidak boleh ditebus dengan meminta maaf, taubat ataupun istighfar. Ia juga tidak boleh ditebus dengan solat ataupun haji. Hutang hanya boleh dibayar sama nilai dengan hutang-hutangnya. Selagi belum dibayar, maka hutang itu akan terus mengikat seseorang bahkan selepas dia mati.
Sesiapa yang meninggal dunia sebelum melunaskan hutang-hutang ketika hidupnya, maka rohnya akan terhalang daripada memasuki syurga. Dia tidak akan terlepas daripada "ikatan" tersebut sehinggalah ia dijelaskan. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Jiwa seorang Mukmin terikat dengan hutangnya sehingga dibayarkan (hutang tersebut) baginya."
Oleh sebab itu, hindarilah mati dengan membawa hutang. Jika mampu membayarnya ketika hayat masih ada, maka janganlah ditunda-tunda. Jika kita mati terlebih dahulu dan tidak berkesemapatan, perlulah dipastikan agar ia ditulis sebagai wasiat agar ahli waris dapat membayar hutang tersebut bagi si mati.
Imam Ibn Abd al-Bar menyatakan dalam kitab al-Istiskar: "Ijmak ulama menyatakan bahawa orang yang meninggalkan hutang wajib berwasiat agar dapat dibayarkan hutang tersebut. Lebih utama jika dia membayar hutangnya semasa hidup. Jika dia telah berwasiat dan meninggalkan hutang untuk membayarnya, maka dia tidak akan terhalang daripada memasuki syurga, Insya-Allah."
Jelasnya, hutang bukanlah perkara ringan. Tiada orang yang mringankannya melainkan orang yang tidak takut pada hari pembalasan.
Menjadi Muflis
Sesiapa yang tidak melangsaikan hutang-hutangnya di dunia, maka para pemilik hak tersebut akan datang menuntutnya di akhirat nanti. Pada hari tersebut, mereka tidak meminta dibayar dengan wang tetapi mereka akan menuntut semua pahala yang memilikinya. Imam Muslim meriwayatkan, pada suatu hari Rasulullah S.A.W. bertanya kepada para sahabatnya yang bermaksud: "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis (bankrap)?"
Para sahabat menjawab: "Muflis menurut kami ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan (pahala) solat, puasa, zakat. Namun dia pernah mencela, memfitnah, memakan harta, menumpahkan darah dan memukul si polan. Maka orang ini akan datang untuk mengambil pahala-pahalanya. Jika pahalanya telah habis sebelum menyelesaikan semua tuntutan ini, maka dosa-dosa mereka akan dibebankan kepadanya, lalu dia pun dicampakkan ke neraka."
Semoga Allah menjaga kita daripada perkara-perkara yang dapat menghalang kita daripada masuk ke dalam syurga. Amin ya Rab al-'Alamin. Biarkan saya akan menceritakan sebuah kisah dalam zaman Islam dahulu dan membaca kisah dulu ya.
Semoga Allah menjaga kita daripada perkara-perkara yang dapat menghalang kita daripada masuk ke dalam syurga. Amin ya Rab al-'Alamin. Biarkan saya akan menceritakan sebuah kisah dalam zaman Islam dahulu dan membaca kisah dulu ya.
Kerana Sebatang Pen.....
Jika kita meneliti sikap para ulama berkenaan hutang, kita akan melihat sikap warak yang sangat tinggi dalam diri mereka. mereka ialah orang yang paling sedar akan bahaya hutang dan sangat mengambil berat dengan perkara ini.
Salah seorang daripada ulama tersebut ialah Imam Abdullah bin al-Mubarak sudah wafat pada 181 Hijrah.
Sejak usia mudanya, Ibn al-Mubarak sangat rajin menuntut ilmu. Beliau sering kali berpindah ke pelbagai negeri untuk berjumpa para ulama dan menulis hadis-hadis mereka.
Suatu ketika, dalam sebuah majlis ilmu di Syam, pen yang beliau gunakan untuk menulis telah rosak. lalu, beliau meminjam sebatang pen daripada seorang pelajar lain yang duduk sebelahan dengannya.
Setelah majlis berakhir, Ibn al-mubarak bangkit untuk meneruskan perjalanannya ke Mesir. Kerana agak tergesa-gesa, beliau terlupa mengembalikan pen yang dipinjam itu kepada pemiliknya. Beliau hanya teringat setelah tiba di Mesir.
Menyedari beliau telah mengambil hak seseorang tanpa izin, Ibn al-Mubarak segera kembali ke Syam. padahal perjalanan dari Syam ke Mesir sangat jauh dan perlu melintasi lautan. Setibanya di Syam, beliau segera mencari pemilik pen tersebut dan mengembalikannya.
Demikianlah sifat warak Ibn al-Mubarak. Beliau sedar bahawa barang pinjaman yang bukan miliknya boleh menghalanginya daripada memasuki syurga. Justeru, beliau bersegera mengembalikannya walaupun perlu merentas perjalanan yang begitu jauh.
Thank you for reading this entry !
Tiada ulasan :
Catat Ulasan