Khamis, 15 November 2012

Katakan TIDAK kepada Syaitan!

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatah !


Pada setiap masa dan ketika, di segenap tempat dan dalam apa-apa jua keadaan, manusia hakikatnya sedang berperang. Berperang dengan musuh batinnya; syaitan. Sejak awal kejadian insan, yakni ketika Nabi Adam a.s. mula diciptakan, permusuhan syaitan telah bermula. Penentangannya terhadap perintah Allah agar seluruh malaikat (termasuk iblis) sujud (tanda hormat) kepada Nabi Adam a.s. merupakan detik permulaan permusuhan syaitan terhadap manusia.

Firman Allah, maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat: 'Sujudlah kepada Adam.' lalu, semua sujud kecuali iblis. Ia enggan dan takbur, maka jadilah ia daripada golongan kafir." (Surah al-Baqarah 2:34)

6:153

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya." (Surah al-An'am 6:153)

Pintu syaitan itu banyak. Ini dapat difahami daripada firman di atas. Malah Rasulullah S.A.W. juga pernah menggambarkan keadaan ini secara gambaran mudah untuk umatnya fahami. Suatu hari, Rasulullah S.A.W. melukis satu garisan lurus.

"Inilah jalan Allah!" Demikian sabda Rasulullah menjelaskan simbolik garisan lurus itu. Di sebelah kanan dan kiri garis itu, Rasulullah melukis lagi beberapa garis.

"Inilah jalan-jalan yang padanya ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut." (Riwayat al-Darimi)

Kemudian Rasulullah membacakan ayat al-Quran di atas. Lihatlah, betapa aku janji syaitan dan keazaman yang jitu untuk menyesatkan seluruh zuriat keturunan Adam dan Hawa tidak pernah padam. lebih menggerunkan, pintu dan saluran syaitan menyesatkan manusia itu secara relatifnya lebih banyak berbanding bisikan baik.

Musuh Nyata Manusia

15:39
15:40

Syaitan ialah musuh yang sangat ganas dan kejam. Keinginannya hanya untuk menjerumuskan manusia ke dalam azab yang sangat pedih dan dahsyat. Allah berfirman, maksudnya: "(Syaitan) berkata: 'Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, pasti aku akan memperintah segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya (manusia) di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas dalam kalangan mereka.'" (Surah al-Hijr 15:39-40)

Malangnya, ramai yang tidak mengetahui dan menyedari bahawa syaitan sedang menyerangnya. Peperangan dengan syaitan ialah perang maknawi. Ia tidak kelihatan dengan mata kasar, tetapi hanya dapat dilihat melalui mata hati.

Bayangkan, dua orang peninju sedang bertarung. Seorang ditutup matanya, manakala seorang lagi dibiarkan terbuka. Siapakah yang akan memenangi pertarungan tersebut? Ya, sudah tentu peninju yang terbuka matanya. Begitulah dalam peperangan melawan syaitan, ia boleh melihat kita tetapi kita tidak boleh melihatnya. Jika kita tidak mempunyai pandangan mata hati yang dipandu oleh petunjuk Ilahi, sudah pasti akan kecundang.

36:60

Jesteru, Allah telah berpesan melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya, syaitan ialah musuh yang nyata bagi kamu." (Surah Yasin 36:60)

35:6

Atas dasar ini, hukum berperang dengan syaitan adalah wajib. Jangan sekali-kali mengharapkan ada perdamaian atau "gencatan senjata" apabila berperang dengan syaitan. Allah menegaskan  lagi, maksudnya: "Sesungguhnya, syaitan ialah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu." (Surah Fatir 35:6)

Tidak alasan untuk berasa tenteram dengan godaan, bujukan dan tipu daya syaitan. Ketahuilah syaitan ialah musuh yang tidak pernah tidur! Yahya bin Mu'az al-Razi berkata: "Syaitan itu penggangu, ia mempunyai banyak waktu untuk menjalankan perancangan. Sedangkan manusia pula terlalu sibuk, namun syaitan menyedari hakikat ini. Manusia tidak melihat dan sering lupa terhadap syaitan, namun syaitan sentiasa ingat."

Merealisasikan Mujahadah

Mujahadah dapat direalisasikan menerusi langkah-langkah berikut:

1) Ambil tahu segala tipu daya Syaitan

Ilmu umpama cahaya. Cahaya ilmu mampu menyuluh taktik musuh yang tidak kelihatan ini iaitu syaitan. Apabila semua taktik dan strateginya telah diketahui (dengan suluhan ilmu), maka syaitan akan tertekan dan "lari" bertenpiaran sepertimana pencuri yang akan melarikan diri apabila kehadirannya disedari oleh tuan rumah. Sebaliknya, manusia yang jahil akan mudah diperkuda oleh syaitan walaupun kadangkala mulutnya bertempik membenci syaitan.

2) Abaikan pujukan Syaitan

Jangan sekali-kali memberi perhatian, melayan dan menghiraukan pujukan syaitan. Anggap sahaja semua godaan itu sebagai salakan anjing. Jika kita melayannya, salakan tersebut akan berterusan. namun jika tidak menghiraukannya, salakan tesebut akan berhenti dengan sendiri. Begitulah godaan syaitan; jangan dilayan dan persetankan!

3) Tingkatkan zikir lidah dan hati

Zikrullah sangat menyakitkan syaitan. Hati yang disirami zikrullah akan hidup, manakala hati akan mati tanpa zikrullah seumpama ikan ketandusan air. Imam al-Ghazali menggambarkan syaitan umpama haiwan yang menyuntik  belalainya dan terus melarikan diri. Ia juga boleh diumpamakan seperti lalat yang menghurung kudis. Sekali ia dihalau ia pergi, tetapi kemudian datang lagi. Maka begitulah syaitan, ia mesti "dihalau" berulang kali dengan mengulang-ulang zikir Allah.

Selain itu, cara mempersempit peluang syaitan adalah dengan tidak melayan hasutan atau dorongan yang datang daripada sifat-sifat mazmumah. Jika kita melayan sifat marah, sama seperti melayan kehendak syaitan. Justeru, usah melayannya. Rasulullah S.A.W. bersabda, maksudnya: "Jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia diam." Rasulullah S.A.W. mengulanginya sebanyak tiga kali. (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Abu Daud)

Hak Seorang Hamba Allah

Tujuan manusia hidup di dunia adalah untuk beribadah. Ini sangat bertentangan dengan hasrat syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia. Tidak kira sama ada penentang atau pengikut, hasrat syaitan cuma satu; menjahamkan kedua-duanya. Syaitan mempunyai ramai pembantu, tetapi "pembantu" yang paling berbahaya dan ganas ialah hawa nafsu.

Kerjasama erat antara hawa nafsu dengan syaitan inilah yang banyak memporak-perandakan hidup manusia di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Kabinet Syaitan

Syaitan mempunyai organisasi tersusun dan bersistematik. Mereka dipimpin oleh ketua dan mempunyai menteri serta ahli jawatankuasa khas yang diberikan portfolio tertentu. Syaitan juga ada pengkhusuan dalam bidang masing-masing sesuai dengan pangkat dan kepakaran.

Jom tinjau "kabinet" syaitan!
  • IBLIS - Ketua bagi semua syaitan
  • DASIM - Meruntuhkan rumah tangga
  • AL-A'WAR - Mengajak lelaki dan wanita menghampiri zina
  • AL-WALHAN - Menimbulkan rasa was-was tatkala berwuduk
  • KHANZAB - Menimbulkan rasa was-was semasa sedang solat
  • MISWAT - Syaitan yang bertanggungjawab dalam perkara dusta
  • ZALANBUR - Mencipta suasana zalim dalam urus niaga
  • THABR - Menghampiri manusia yang ditimpa musibah dan berusaha menjadikan manusia rasa teramat gelisah serta tidak reda menerima ujian

Hakikatnya, syaitan sentiasa memastikan siapa antara manusia yang benar-benar ingin menjadi hamba Allah?

34:20
34:21

Allah mengingatkan, maksudnya: "Dan sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaanya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang yang beriman. Dan tidak ada kekuasaan iblis atas mereka, melainkan hanyalah Kami dapat membezakan siapakah yang benar-benar beriman dengan adanya kehidupan akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu Maha Memelihara segala sesuatu." (Surah Saba' 34:20-21)

Dengan adanya permusuhan syaitan, barulah terbukti siapakah dalam kalangan manusia yang benar dan sabar dalam perjuangannya di jalan Allah. Ertinya, manusia yang hendak beribadah, mahu tidak mahu berpaksa berperang dan menang dalam peperangannya melawan syaitan.

3:142

Firman Allah, maksudnya: "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah (wujudnya) orang yang berjihad antara kamu dan belum nyata (wujudnya) orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?" (Surah Ali 'Imran 3:142)

GuideLine Memerangi Syaitan

Kita sebagai manusia perlu mengenali sifat-sifat syaitan, cara ia menipu daya, dan "senjata" paling ampuh untuk menumpaskannya. Inilah prinsip asas dan teras dalam perjuangan melawan syaitan:

1) Meminta perlindungan daripada Allah

Syaitan umpama anjing yang diberi kekuatan untuk menggoda manusia. Jika kita berusaha untuk "menghalaunya" setiap kali ia mengejar kita, maka kita akan kesuntukan masa dan kehabisan tenaga. Maka, sebaik-baik cara adalah memohon kepada Allah yang menguasai "anjing" tersebut agar berhenti daripada mengejar kita.

7:200
7:201

Perhatikan saranan Allah ini yang bermaksud: "Jika kamu digoda oleh sesuatu godaan daripada syaitan, maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya, orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka ingat (kepada Allah), maka ketika itu mereka nampak (jalan yang benar)." (Surah al-A'raf 7:200-201)

Justeru, dalam apa-apa jua aktiviti yang kita lakukan seharian, sudah pasti ada adab dan doanya. Bermula daipada bangun tidur, masuk bilik air, berpakaian, keluar rumah sehinggalah hendak tidur pada malam hari sentiasa ada doa dan adab yang perlu diamalkan. Kebanyakan kandungan doa tersebut adalah permohonan berlindung daripada syaitan. Contohnya, doa makan akan menghindarikan syaitan daripada makan bersama-sama kita. Begitu juga doa ketika hendak bersama isteri, memasuki tandas, mengucap seumpamanya.

4:76

Apabila kita takut kepada Allah, maka syaitan pun akan takut kepada kita. Ketika itulah tipu daya syaitan akan menjadi lemah. Hayati peringatan daripada Allah, maksudnya: "Orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang yang kafir berperang di jalan taghut (syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah." (Surah al-Nisa' 4:76)

Sebaliknya, jika bersandar kepada kekuatan diri semata-mata, kita akan mudah dikalahkan kepada syaitan.

Karakter Syaitan

Andai syaitan itu boleh dilihat, pasti kita akan mengenal pasti terlebih dahulu fizikal syaitan. Pedang, parang, meriam dan segala jenis senjata dan alat pertahanan diri disediakan untuk melawannya.

Tetapi, melawan bisikan syaitan tidak memerlukan semua item di atas. Kenali karakter syaitan dan sentiasa berhati-hati agar kita sebagai manusia tidak mempunyai karakter yang sama seperti syaitan.

Lemah

"Aku tak kuat melawan syaitan," kata seorang Muslim. Allah telah mengingatkan bahawa syaitan dan tipu daya daripada syaitan itu lemah, maksudnya: "Sesungguhnya, tipu daya syaitan adalah lemah." (Surah al-Nisa' 4:76)

Sebenarnya, manusia itu kuat dan berupaya melawan syaitan yang lemah.

Pendusta

Dalam melancarkan misi menghancurkan orang Islam, syaitan amat terkedepan denga sikap dusta. Janji dan bisikan syaitan semuanya tipu dan tiada satu pun yang benar.

Ilham Batil

Formula ini paling sukar untuk manusia kesan. Sesuai dengan prinsip hidup syaitan untuk menyesatkan manusia, hatta manusia itu sedang membuat kebaikan, syaitan pasti hadir untuk memberi ilham yang batil. Contohnya, orang yang sedang menunaikan solat akan dilekakan dengan memberi ilham tentang perkara yang boleh dilakukannya selepas solat.

Ketawa atas kejahatan

Jika kuasa kamera litar perangkap had kelajuan boleh merakamkan kesalahan orang yang memandu melebihi had yang ditetapkan, syaitan pula melihat kebaikan yang dilakukan oleh manusia dan seterusnya berusaha untk memesongkan kebaikan tersebut kepada perkara kejahatan. Syaitan akan ketawa besar apabila melihat manusia melakukan kejahatan.

2) Mujahadah melawan syaitan

Selepas meminta pertolongan daripada Allah, tidak ada pilihan lagi bagi kita melainkan melawan segala tipu daya dan godaan syaitan dengan sekuat-kuatnya. Inilah mujahadah (perang) yang wajib dilakukan oleh setipa orang Islam.

Dua cara ini (doa dan mujahadah) mesti digandingkan bersama dan tidak dipisahkan. Sepertimana perang terhadap musuh yang zahir memerlukan persediaan, perang terhadap musuh batin juga memerlukan ilmu, strategi dan kesungguhnya yang tersendiri.

ya, itulah strategi utama untuk melawan syaitan dengan menggabungkan ilmu, ikap dan mujahadah. Apabila berjaya memerangi syaitan, ia sangat penting kerana itulah tapak kejayaan kita mengalahkan musuh lahiriah; Yahudi dan Nasrani. Hakikatnya, syaitanlah menjadi "bos" kepada musuh lahiriah kita. Ia juga menjadi pengatur di seblaik semua tipu daya musuh terhadap umat Islam kini.

Membelasah "Waswasah" Syaitan

Kita mesti berusaha mendapat bisikan Allah dan para malaikat. Ini adalah bisikan yang sentiasa kita cari dalam hidup ini. Hati sebenarnya ditarik oleh dua graviti; sama ada graviti kebaikan (bisikan hati yang berpunca daripada Allah dan malaikat Mulhim) atau graviti kejahatan (bisikan hati yang berpunca daripada syaitan dan hawa nafsu).

Hati sentiasa dibayangi oleh dua bisikan. Pertama, bisikan yang mengajak kepada kebaikan, dan kedua bisikan kepada arah kejahatan. Bisikan hati yang dimaksudkan itu telah dijelaskan oleh Allah S.W.T., mafhumnya: "Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketakwaannya." (Surah al-Shams 91:7-8)

Dua bisikan hati inilah yang sentiasa bertarung menjadikan hati sebagai satu medan pertempuran yang dahsyat. Inilah sebabnya utama hati sentiasa bergolak dan berbolak-balik seperti kuah yang sedang mendidih. Iman Sentiasa bertambah dan berkurang, di sinilah juga punca lahirnya kebaikan dan keburukan yang dicetuskan oleh setiap manusia.

Terdapat dua bisikan hati manusia. Bisikan yang mengajak kepada kebaikan berpunca daripada malaikat Mulhim, dan ajakan kepada kejahatan berasal daripada syaitan. Ajakan kepada kebaikan dinamakan ilham. Manakala ajakan kepada kejahatan dinamankan was-was (waswasah). Bisikan inilah yang mempergaruhi hati. ya, walaupun hati ialah raja yang sangat berkuasa, sayangnya "raja" ini sangat mudah dipergaruhi sama ada oleh ilham kebaikan atau was-was kejahatan.

Semuanya bermula dengan bisikan hati. Dengan kaedah ini jugalah syaitan menyusup untuk mendorong manusia melakukan kejahatan. Allah berfirman, maksudnya: "Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam hati manusia." (Surah al-Nas 114:5)

Mafhum firman Alah lagi: "Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindung selain Allah, maka sesungguhnya dia menderita dengan kerugian yang nyata. Syaitan sentiasa memberikan janji-janji (yang indah) dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, sedangkan syaitan tidak menjajnikan kepada mereka, selain tipu daya belaka." (Surah al-Nisa' 4:119-200)
Bisikan syaitan amat licik. Ada kalanya ia mengajak kepada kebaikan, tetapi ia umpama umpan untuk "memancing" kepada kejahatan. Misalnya, syaitan mengajak seseorang melakukan banyak amalan sunat dengan meremehkan amalan yang wajib. Ada orang yang berqiumullail dengan menunaikan solat sunat, tetapi, lewatuntuk bangun menunaikan solat Subuh. Ada orang yang istiqamah berpuasa sunat, tetapi lidahnyamasih suka mengumpat.
Boleh jadi semua ibadah sunat diperalatan oleh syaitan untuk menyeret manusia ke lembah mazmumah seperti riyuk, ujubdan sum'ah, padahal menghindari sifat mazmumah lebih utama daripada melakukan ibadah sunat. Ibadah mesti dilakukan dengan penuh rasa kehambaan. Sekiranya ibadah menghilangkan rasa kehambaan, itu petanda seseorang telah terkena tipu daya syaitan. begitu juga sekiranya seseorang tergopah-gapah dalam melakukan kebaikan, ia petanda datangnya daripada bisikan syaitan. Islam melarang sikap tergesa-gesa waluapun ketika hendak melakukan kebaikan.

Segerakan yang 5 Keadaan

Menurut ulama, tergopah-gapah adalah daripada syaitan kecuali dalam lima keadaan:
  1. Mengahwinkan anak perempuan apabila sudah tiba masanya.
  2. Melunaskan hutang pada waktu yang dijanjikan.
  3. Menguruskan jenazah.
  4. melayan dan menghormati tetamu.
  5. Bertaubat atas dosa-dosa yang pernah dilakukan.

3 Jenis Bisikan Hati


Setiap manusia ada bisikan hati; sama ada baik mahupun sebaliknya. Allah berfirman, bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Surah Qaf 50:16)

Penting untuk kita mengenali jenis-jenis bisikkan hati. Apabila telah mengenali dan membezakannya, barulah kita mampu menerima bisikan yang baik dan menolak bisikan yang jahat. Bisikan hati itu terbahagi kepada tiga jenis mengikut punca dan sumbernya:

1) Bisikan daripada Allah

Bisikan hati yang datang daripada Allah adalah sesuatu yang bersifat kebaikan yakni bertujuan memuliakan seseorang. Ada kalanya, Allah menguji manusia dengan bisikan kejahatan sebagai jalan untuk meningkatkan kesabaran.

Dengan bisikan kejahatan itu, manusia yang beriman akan menjadi semakin kuat keimanannya. Firman Allah, maksudnya: "Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: 'kami beriman,' sedangkan mereka belum diuji?" (Surah al-'Ankabut 29:2)

ya, walaupun diuji dengan bisikan kejahatan, manusia yang beriman tidak akan tergoda, bahkan akan menambahkan lagi keimanannya kepada Allah.

2) Bisikan malaikat Mulhim

Bisikan hati yang berpunca daripada malaikat Mulhim pula mesti berupa kebaikan. Ia umpama penasihat atau guru "senyap" yang berada dalam hati. Hati yang bersih akan menjadi tempat persinggahan malaikat Mulhim untuk menaburkan ilham kebaikan. Semakin bersih hati seseorang, semakin banyak ilham yang diterima dan semakin kuat dorongan dalam diri seseorang untuk melakukan kebaikan.

Terdapat perbezaan antara bisikan kebaikan yang datang daripada Allah dengan yang datang daripada malaikat. Jika bisikan itu terlalu kuat dan konsisten, itu pasti datang daripada Allah. Firman Allah, maksudnya: "Orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka serta memberi (dorongan) kepada mereka untuk bertakwa." (Surah Muhammad 47:17)


Bisikan kebaikan yang datang daripada Allah akan diiringi kesungguhan untuk beramal. Firman Allah, maksudnya: "Dan orang yang berjihaduntuk mencari kehendak agama Kami, kepada mereka." (Surah al-'Ankabut 29:69)

Namun sekiranya bisikan kebaikan itu berubah-ubah; kekadang kuat dan kekadang lemah, itu datangnya daripada malaikat. Ujarlah para ulama lagi: "Jika bisikan hati mengenai hal-hal tauhid atau iktikad, hakikatnya ia daripada Allah. Manakla bisikan hati pada perkara furuk (cabang), ia datang daripada para malaikat."

Kontra kepada bisikan kebaikan ialah bisikan kejahatan oleh syaitan. Bisikan kejahatan saraf dengan tipu daya. Sekalipun ia seolah-olah bisikan kebaikan, tetapi itu samaran semata-mata kerana isinya tetap kejahatan.

3) Bisikan nafsu atau syaitan

Bisikan yang terakhir ialah nafsu. Bisikan nafsu sama sahaja dengan syaitan kerana ia sentiasa mengajak kepada kejahatan. Walaupun kadang-kadang nafsu seolah-olah mengajak kepada kebaikan, tetapi tujuan akhirnya adalah kejahatan juga.


Kenal Pasti Strategi Lawan

Bisikan syaitan agar manusia meninggalkan ketaatan kepada allah terbahagi kepada beberapa strategi. Berikut antara bisikan syaitan ke dalam hati manusia agar tersasar daripada mentaati Allah:

1) Menghalang secara total

Syaitan menghalang manusia secara total daripada melakukan ibadah. Dibisikkan ke dalam hatinya bahawa ibadah itu sesuatu yang sangat menyusahkan, tidak praktikal , ketinggalan zaman dan tidak memberi sebarang faedah kebendaan. Lalu, timbullah beberapa persoalan daripada manusia yang mendengar bisikan syaitan ini:

      "Apa gunanya solat? Bukannya ada keuntungan komersial."
      Atau: "Apa gunanya menutup aurat? Ini tidak praktikal!"

2) Menangguhkan amal soleh


Dibisikan ke dalam hati bahawa masa masih ada, umur masih panjang, detik kematian masih jauh. Syaitan menghasut:

      "Muda untuk enjoy puas-puas, dah tua nanti baru bertubat."
      Atau: "Ibadah? Esok masih ada.... relaks dulu!"

Hakikatnya, muda adalah saat terbaik untuk mendekati Allah kerana mati boleh datang secara tiba-tiba.

3) Tergesa-gesa dalam beramal

Syaitan membisikkan ke dalam hati manusia supaya beramal secara tergesa-gesa. Hinggakan dengan sifat tergesa-gesa inilah amal ibadah boleh menjadi tidak sempurna, tidak tertib dan dilakukan penuh kejahilan. Seseorang yang tertipu dengan strategi ini akan berasa tidak sempat atau tidak bersemangat untuk belajar. Lalu dia terus sahaja "meloncat" untuk beramal secara tergesa-gesa, sedang amal tanpa ilmu memang tertolak.

4) Beramal kerana bimbing celaan manusia

"Solatlah, jika tidak, kamu akan dianggap jahat," bisik syaitan. Maka si polan akan menunaikan solat bukan kerana Allah, tetapi takut dengan celaan manusia. Orang sebegini akan rajin beribadah di depan manusia, dan akan meninggalkan ibadah apabila berada di belakang mereka.

5) Menyuntik rasa bangga diri selepas beribadah

"Wah hebat, kamu boleh solat tahajud setiap malam!" bisik syaitan kepada ahli ibadah.
"Dalam kalangan semua pelajar, akulah yang paling rajin dan bijak." Begitu bisikan hati seorang pelajar yang lulus dengan cemerlang.

Mereka lupa bahawa mereka boleh beribadah hakikatnya kerana taufik dan hidayah Allah, bukannya kerana kudrat diri mereka sendiri. Mereka juga lupa bahawa ibadah yang membuatkan seseorang takbur akan ditolak mentah-mentah oleh Allah.

6) Menibulkan rasa geembira dan ingin amalan diketahui manusia

"Engkau beribadahlah bersungguh-sungguh, jangan sampai sampai diketahui orang. Nanti Allah yang anda memberitahu orang lain bahawa engkau seorang hamba yang ikhlas."

Jika itulah bisikan hati kita nyatalah itu bisikan syaitan. Namun, bisikan ini terlalu seni dan licik sifatnya. Kalau calang-calang orang, pasti tumbang dihenyak tipu daya syaitan. Sepatutnya bisikan syaitan itu dibalas dengan bisikan yang lebih suci dengan berkata:

"Aku hanya hamba Allah. Allah juakan yang melahirkan atau menyembunyikan amalanku. Dan jika dihendaki-Nya, Allah akan memuliakan atau menghinaku. Semuanya ini urusan Allah. Aku tidak khuatir sama ada ibadah ini disembunyikan atau diperlihatkan kepada orang lain kerana itu semua bukan urusaku."

7) Mengeksploitasi kefahaman tadkir yang salah

Strategi akhir syaitan adalah dengan membisikkan konsep tadkir yang salah dalam hati manusia yang ingin beramal. Misalnya syaitan akan membisikkan:

"Mengapa kamu terlalu menyusahkan diri untuk beribadah? Jika Allah sudah tadkirkan sejak azali lagi kamu akan bahagia, kamu pasti akan bahagia sekalipun kamu tidak beribadah. Sebaliknya, jika ditakdirkan kamu celaka, kamu pasti akan celaka walaupun kamu rajin beribadah."

Sesiapa yang tiada ilmu tentang takdir atau mempunyai ilmu tetapi malas beribadah, maka dengan mudah bisikan ini akan menumpaskannya. Sebaliknya, dengan ilmu, keyakinan dan bersangka baik kepada Allah, seseorang akan membalas bisikan itu dengan berkata:

"Aku hanya hamba Allah. Wajib bagiku menurut perintah-Nya supaya beribadah. Terpulang kepada-Nya untuk membahagiakan aku atau sebaliknya. Allah telah berjanji bahawa sesiapa yang beriman dan taat akan dimasukkan ke dalam syurga. Manakala orang yang derhaka dan tidak beriman akan dihumbankan ke neraka. Sesungguhnya, Allah tidak memungkiri janji-Nya."


Graviti Positif
Untuk mengelakkan diri daripada bisikan syaitan, kita mesti berusaha mendapat bisikan Allah dan para malaikat. Ini adalah bisikan yang sentiasa kita cari dalam hidup ini. Hati sebenarnya ditarik oleh dua graviti; sama ada graviti kebaikan (bisikan hati yang berpunca daripada Allah dan malaikat Mulhim) atau graviti kejahatan (bisikan hati yang berpunca daripada syaitan dan hawa nafsu.

Jelaslah, manusia pada setiap masa "mendengar" bisikan hatinya. Daripada bisikan hati itu, timbullah niat dan dorongan untuk bertindak. jika bisikan itu baik, maka lahirlah tindakan yang baik. Sebaliknya jika bisikan hati itu jahat, maka lahirlah tindakan yang jahat. Justeru, setiap orang Islam mesti mampu mengenal bisikan-bisikan tersebut. Bisikan yang baik diikuti, manakala bisikan yang jahat ditentang habis-habisan. Belasahlah "waswasah" syaitan!

Kemudian, jangan luap untuk berserah kepada Allah. Tiada daya untk meninggalkan maksiat dan tiada kekuatan untuk melaksanakan taat kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang! Jadi jika kita berjaya mengalahkan syaitan, musuh lahiriah kita akan lebih mudah ditundakkan! Wallahu a'alm.

Salam Maal Hijrah 1434! =)

Thank you for reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan