Ahad, 11 November 2012

Mengenal Hati

Assalamualaikum Warahmatullah Wabaratakah !


Semua orang tahu hati ialah organ yang mengendalikan semua anggota tubuh manusia. Melalui hati, anggota tubuh yang lain akan mengambil teladan yang baik sama ada dalam ketaatan mahupun kemungkaran.

Hati yang dijadikan Allah dalam tubuh manusia merupakan bahagian yang harus dipertanggungjawab oleh setiap insan ketika di akhirat nanti. Kita akan disoal tentang cara kita mengendalikan hati.

Pusat Kawalan

17:36

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah al-Isra' 17:36)

Hati bagaikan raja kerana segala perintah yang datang daripadanya harus dilaksanakan oleh anggota tubuh badan yang lain. Sebagai contohnya, seseorang yang hendak makan akan terdetik di hatinya untuk merasai pelbagai jenis hidangan. hati terlebih dahulu bertindak sebelum mulut memainkan peranannya. Semua yang kita lakukan bermula dengan detik di hati. Hati akan menghantar mesej ke otak dan seterusnya mengarahkan anggota lain untuk bertindak.

Ibaratnya, hati itu sebagai punca utama dalam setiap perlakuan manusia. Pada hari ini, kita sudah dapat melihat banyak orang yang gagal mengawal diri lantaran hati tidak bertindak sebagai pembimbing yang baik kerana manusia suka mengikut kata hati dan jarang menggunakan kehendak akal untuk melakukan sesuatu. Di sinilah kehebatan peranan hati berbanding akal. Banyak kepincangan dan kemusnahan yang berlaku kerana terlalu mengikut kata hati. Tetapi, jika itu menyuruh kepada kebaikan, maka anda amanlah dunia ini.

Sifat Terpuji

Jika kita mahukan segala sifat terpuji kekal dalam diri, hati perlulah dibersihkan dan dibebaskan terlebih dahulu daripada segala kekotoran dan sifat tercela. Hati yang bersih dan baik akan memberi arahan kepada anggota tubuh badan yang lain agar sentiasa melakukan perkara kebaikan dan meninggalkan segala keburukan.

Sabda Rasulullah S.A.W., maksudnya: "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimasukkan itu ialah hati." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa jika hati itu jahat dan kotor, maka akan pincanglah keseluruhan anggota dan akhlak pemilik hati itu seterusnya akan membawa kepada kemurkaan Allah S.W.T. Hati yang baik akan sentiasa menjadi rebutan kerana terdapat unsur keimanan yang sejati padanya. Manakala kita patut menjauhkan diri daripada memiliki hati yang berunsur kejahatan kerana ia hasutan daripada syaitan.

Beruntunglah sesiapa yang berjaya memiliki hati yang berunsur kebaikan kerana dia bukan sahaja akan menjadi orang yang taat dan beriman, malahan mempunyai akhlak yang mulia. Tetapi agak malang jika hati yang jahat menguasai diri seseorang kerana ia hanya akan mengakibatkannya menjadi kufur dan derhaka kepada Allah S.W.T. serta mempunyai akhlak yang keji.


Jenis-Jenis Hati

Kita perlu mengenali hati sendiri sebelum mengubatnya. Jenis-jenis hati seperti berikut:

1) Qalbun Sahih (Hati yang Suci)

Apabila kita menyebut perkataan suci, ia bermakna hati tersebut bersih, sihat dan bebas daripada segala gangguan yang boleh menyebabkan pemiliknya menentang perintah Allah dan melakukan larangan-Nya.

Orang yang memiliki hati yang suci akan terselamat daripada mengambil hukum yang bertentangan dengan ketentuan Allah dan Rasul. Semua yang mereka lakukan kerana Allah. Jika mereka membenci, benci tersebut kerana Allah S.W.T. Begitu juga jika mereka mencintai. Cinta itu hanya untuk Allah S.W.T.


Jika kita tergolong dalam golongan dalam golongan yang memiliki hati yang suci ini, kita perlu menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai contoh teladan dalam hidup kita. Ia perlulah berpandukan sunnah Rasulullah S.A.W. kerana Baginda mempunyai akhlak yang paling mulia.


Nabi Muhammad S.A.w mengajak manusia untuk melengkapkan diri masing-masing dengan akhlak mulia dan terpuji. Kemudian, Rasulullah S.A.W. turut berpesan kepada sekalian manusia bahawa Allah S.W.T. tidak suka akhlak buruk dan kelakuan jahat. Disebabkan akhlak Baginda yang terpuji, maka Allah S.W.T. telah memuji Rasulullah S.A.W. dalam al-Quran, maksudnya: "Dan sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) mempunyai budi pekerti yang amat luhur." (Surah al-Qalam 68:4)

Kelebihan orang berhati suci ialah Allah S.W.T. akan mengurniakan petunjuk dan hidayah kepadanya. Ia akan mendapat pimpinan dan bimbangkan daripada Allah sehingga dia mendapat kemudahan dalam melakukan amal ibadat.

2. Qalbun Mayyit (Hati yang Mati)

Orang yang memiliki hati jenis ini tidak akan mengenal Penciptanya. Mereka tidak mahu menyembah Allah S.W.T. serta tidak akan dicintai Allah S.W.T. Selain itu, mereka juga tidak mahu mendapat keredaan daripada Allah S.W.T. serta akan terlepas daripada rahmat Allah.

Nafsu dan syaitan bekerjasama untuk merebut tempat di hati setiap manusia. Jika hati sudah dikuasai dan ditawan, maka manusia tidak lagi menuruti perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya, tetapi akan mengikut apa-apa sahaja kehendak nafsu dan syaitan.

Nafsu dan syaitan akan mencorakkan hati manusia dengan sifat-sifat mazmumah. Apabila segala sifat mazmumah sudah bertapak di hati manusia, maka syaitan akan memperalatkan apa-apa sahaja yang disukainya. Lalu, akan timbul segala penyakit hati.

Lebih membahayakan lagi apabila golongan yang memiliki hati jenis ini terlalu mengikut hawa nafsu. Hati mereka bertindak bersama nafsu. Contohnya, jika mereka melakukan nafsu syahwat. Mereka tidak akan mempedulikan sama ada ia diredai atau dimurkai Allah ataupun tidak. Mereka lebih patuh kepada bisikan iblis. Jika mereka mencintai atau membenci sesuatu, golongan ini lebih cenderung melakukannya hanya kerana nafsu.

Akhirnya, golongan ini akan jauh daripada Allah. Mereka hanya bertindak memikirkan kebahagiaan di dunia dan tidak sedar bahawa suatu hari nanti dia akan kembali kepada Allah S.W.T. Selain itu, golongan ini hanya mendengar seruan syaitan dan iblis kerana hatinya telah dibutakan oleh nafsu. Sesiapa yang berkawan dengan golongan ini, dibimbangi akan mengikut dan terpengaruh hatinya kerana mereka akan diracuni hati dan fikirannya.

3. Qalbun Marid (Hati yang Sakit)

Golongan yang mempunyai hati jenis ini masih mempunyai kehidupan, tetapi hatinya menyimpan benih-benih penyakit. Kadangkala mereka hidup sihat, tetapi ada ketikanya mereka lebih mengutamakan dunia, cintakan dunia, ikut nafsu, tamak, dengki, takbur, ujub, dan riyak. Kita perlu ingat, kita bukan sahaja perlu membersihkan diri daripada segala jenis kotoran, kuman dan penyakit tetapi hati juga perlu dibersihkan daripada sifat tercela ini.

Motivasi Hati yang Sakit
  1. Motivasi untuk mengajak kepada Allah dan Rasul serta mencari kebahagian abadi di akhirat.
  2. Motivasi untuk menuju kepada kehidupan dan kebahagiaan dunia yang bersifat sementara.
Orang yang mempunyai hati sebegini, mempunyai pengaruh untuk mengikut bisikan yang paling kiat, dia akan cenderung untuk mengikut dunia. Jika ini akan cenderung untuk mengikut akhirat.


Terdapat 18 cara dan rawatan hati yang perlu dilakukan supaya hati kalian dapat dirawat dan terhindar daripada penyakit hati. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
  1. Mentarbiah hati supaya mencintai Allah S.W.T. dengan sedalam-dalamnya.
  2. Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran
  3. Mendekatkan kepada Allah S.W.T. dengan amalan-amalan sunat
  4. Khusyuk dalam solat
  5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah S.W.T.
  6. Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah S.W.T. dan mengharapkan keredaan-Nya
  7. Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul
  8. Beriktikad dengan akidah yang betul
  9. Sentiasa melakukan muhasabah diri
  10. Memperuntukkan masa bagi Allah S.W.T. menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama
  11. Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam
  12. Tunduk dan khusyuk kepada Allah S.W.T. dalam segenap tindakan dan perbuatan
  13. Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah S.W.T.
  14. Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah S.W.T.
  15. Suka menziarahi kubur dan mengingati mati
  16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat yang dikurniakan
  17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka
  18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan
Walau bagaimanapun, golongan yang masih mempunyai hati ini, ia masih boleh dirawat dan diubati kerana hati yang mereka berada di peringkat pertengahan antara hati yang suci dengan hati yang mati. Jika tidak dirawat, ia akan membawa kepada matinya hati dan susah untuk dihidupkan kembali.

Thank you for reading this entry !

Tiada ulasan :

Catat Ulasan