Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatah !
Mu'awiyah bin Jahimah telah datang kepada Rasulullah S.A.W. lantas bertanya: "Aku hendak pergi berjihad, justeru aku datang kepadamu untuk meminta pandanganmu." Rasulullah S.A.W. bertanya, mafhumnya: "Adakah kamu masih memepunyai ibu?" Jawabnya: "Ya." Lalu, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu kerana syurga itu berada di bawah kedua-dua kakinya." (Riwayat al-Nasa'i dan al-Tabarani)
Mengapakah saya nak menulis hadis di atas? Kerana hadis adalah pengajaran dengan lebih baik. Itulah bertajuknya yang saya nak menulis ini. Bunyinya selesa bila panggil ibu "Mama", "Umi" dan sebagainya. Itulah sebab kita masih sayangkan ibu kita. Betul tak? Hadis yang mengaitkan syurga di bawah tapak ibu sering menjadi perbincangan. Dalam kalangan ulama hadis, mereka mendaifkan hadis yang menyatakan bahawa syurga itu bawah tapak kaki ibu. Namun begitu, hadis tersebut mempunyai sanad yang hasan, disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi dan diperakui oleh al-Munziriy.
Walau apapun perbincangan ulama mengenai hadis ini, namun sesuatu yang tidak dapat disangkal adalah kepentingan berbakti kepada ibu bapa dan merupakan kefarduan setiap manusia yang bergelar anak. Hal ini jelas disebutkan dalam al-Quran dan hadis.
Allah memerintahkan kita supaya melakukan ihsan terhadap ibu bapa, melayan mereka dengan baik, berterima kasih, bersabar atas kerenah mereka terutama di usia tua mereka, tidak berkasar, bercakap dengan sopan, merendah diri dan mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka.
Melakukan kebaikan terhadap ibu bapa adalah anak kunci kejayaan seseorang di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak kepada kemarahan ibu bapa." (Riwayat al-Hakim)
Rasulullah S.A.W. juga menjelaskan bahawa melakukan kebaikan terhadap ibu bapa termasuk dalam amalan yang paling disukai Allah ialah solat pada awal waktu, melakukan kebaikan terhadap ibu bapa dan kemudian berjihad di jalan Allah." (Riwayat al-Durqutni)
Cara berbakti kepada Ibu Bapa
Allah S.W.T. telah menjelaskan dengan lebih terperinci cara melakukan kebaikan kepada ibu bapa terutama ketika mereka sudah tua.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka. Ucapkan kepada mereka perkataan yang mulia." (Surah al-Isra' 17:23-24)
Ayat ini menjelaskan cara melakukan ihsan kepada ibu bapa. Seorang anak perlu menjaga adab dan akhlak terhadap ibu dan ayahnya terutama ketika mereka sudah tua dan lebih memerlukan belaian seorang anak pada usia tersebut. Pada waktu itu kudrat dan tenaga mula berkurangan, jiwa mereka mudah tersentuh dan telah banyak pengorbanan yang sudah mereka curahkan anak-anak. Anak yang menjadi seperti kacang lupakan kulit amat tidak bertimbang rasa dan berdosa besar baginya.
Anak sepatutnya sentiasa berbakti kepada ibu bapanya. Ia dapat dilakukan dalam pelbagai cara, antaranya memberi nafkah apabila mereka sudah tidak berkemampuan, menziarahi mereka, sering bertanya khabar, bersikap lembut, memenuhi segala keperluan, mendoakan, berbuat baik terhadap rakan-rakan mereka dan sebagainya,
Kewajipan berbakti dan berbuat baik terhadap ibu bapa bukan hanya kepada ibu bapa Islam yang taat dan patuh pada perintah Allah. Malahan, seorang anak wajib berbuat baik terhadap ibu bapa walau dalam apa-apa keadaan sekalipun. Sebagai contoh, terdapat arahan Allah untuk tetap berbuat baik terhadap ibu bapa yang bukan Islam melalui firman-Nya yang bermaksud:
"Dan jika mereka berdua (ibu bapa kamu) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau tidak ketahui, janganlah engkau taat kepada mereka (iaitu jangan menuruti perintah mereka); dan tetaplah bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik." (Surah Luqman 31:15)
Ayat ini begitu jelas menyatakan kewajipan berbakti dan berbuat baik baik kepada ibu bapa yang bukan Islam. Kadangkala si anak kurang memahami tanggungjawabnyadan mengabaikan ibu bapanya sendiri dengan alasan mereka mereka melakukan maksiat atau tidak mempedulikannya semasa kecil. Walau sesiapa pun mereka, anak wajib berbakti kerana itulah perintah yang diturunkan oleh Allah kepada manusia.
Allah S.W.T. telah menjelaskan sebab perlu bersyukur dan berterima kasih kepada ibu bapa, maksudnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kedua-dua ibu bapamu dan (ingatlah) , kepada Aku jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman 31:14)
Larangan Bagi Anak
Allah melarang anak mengucapkan kata-kata yang boleh menyebabkan ibu dan ayahnya berkecil hati. 'uf' atau 'ah' seorang anak yang sampai ke telinga ibu dan ayah menyebabkan mereka menitiskan air mata dan terasa sebak dada. Apatah lagi jika anak mengeluarkan kata-kata kesat, menghina dan memeperkecilkan kedua-dua orang tuanya.
Begitu juga Allah melarang anak melakukan perbuatan kasar terhadap ibu bapanya. Perbuatan mengibas tangan terhadap ibu bapa sudah cukup untuk menjadikan seseorang anak itu derhaka. Apatah lagi sekiranya melakukan perbuatan yang lebih teruk daripada itu serta yang menyakiti fizikal dan hati mereka.
Seorang anak yang sedar betapa besar jasa ibu dan bapanya, tidak akan tergamak melakukan perderhakaan terhadap mereka. Namun apa yang terjadi sebaliknya, perderhakaan anak terhadap ibu bapa semakin berleluasa. Ada anak yang "menghambakan" ibu bapanya sendiri dengan menjadikan mereka sebagai orang gaji di rumah mereka. Inilah antara bentuk penderhakaan yang semakin berleluasa pada hari ini.
Akhir-akhir ini kes seperti memukul, mendera malah membunuh ibu bapa semakin menular dalam masyarakat. Berita menyayat hati seperti "Anak Memotong Kepala Ayah" dan "Ibu Dipukul Anak" merupakan gambaran masyarakat yang tenat dan perlu kepada suatu penyelesaian.
Anak-anak yang menderhaka terhadap ibu bapanya sudah tentu akan mendapat pembalasan sewajarnya daripada Allah sama ada di dunia mahupun akhirat. Jelasnya, anak yang menderhaka akan dimasukkan ke dalam neraka di akhirat nanti sebagai pembalasan terhadap kederhakaannya.
Wallahu a'lam
Jazak'Allah Khair for your reading this entry !
Tiada ulasan :
Catat Ulasan